Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) berjalan keluar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan (Gerakan) meneruskan perbincangam mengenai pembahagian kerusi pada hari ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara berkenaan masih belum selesai sehingga beliau meninggalkan Ibu Pejabat Bersatu sebentar tadi.

“Perbincangan hari ini tentang persiapan terakhir kita untuk menghadapi pilihan raya, perkara-perkara yang berkaitan termasuk pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Terutamanya Bersatu dengan Pas termasuk juga Gerakan. Hari ini pun sambungan perbincangan itu. Bagi kita selagi belum sampai hari penamaan calon, kita boleh berbincang apa-apa.

“Bila kita dah muktamadkan kita umum,” katanya ketika ditemui di lobi Yayasan Selangor, hari ini

Menurut Takiyuddin, kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak dibincangkan dalam pertemuan pada hari ini.

Sebelum ini, Bersatu dan Pas dilaporkan berebut kerusi Parlimen Jasin.

Kerusi berkenaan ditandingi Pas pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Jasin dilaporkan mahu memboikot kempen di kawasan berkenaan sekiranya kerusi tersebut tidak diberikan kepada parti  berkenaan. – MalaysiaGazette