Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 02 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi kini dalam peringkat akhir untuk membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (RUU MMM) bersama Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia di Dewan Rakyat.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, setelah kandungan RUU MMM dimuktamadkan serta proses Analisis Impak Peraturan (RIA) diselesaikan, draf RUU itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan selanjutnya.

“Kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media serta menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak, sebaliknya harus dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika, dan mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia,” katanya dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan Tahun 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Nie Ching, RUU itu akan turut melibatkan wakil industri media, ahli akademik dan pihak awam memastikan peruntukan-peruntukan yang dipersetujui dalam kandungan RUU MMM tersebut adalah jelas serta penubuhan MMM kelak memenuhi objektif utama yang disasarkan.

“Seterusnya Kementerian ini akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi pembentangan RUU MMM di Parlimen setelah semakan oleh AGC selesai dilaksanakan,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, RUU berkenaan dijadualkan dibentangkan dalam sidang dalam mesyuarat kali ini.

MMM apabila ditubuhkan kelak bertanggungjawab untuk membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara dan dalam masa yang sama memastikan pelaporan berita yang dilakukan oleh media dilakukan secara bertanggungjawab.

Fungsi MMM juga termasuklah menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam secara amnya serta menyokong pembangunan profesional wartawan dan organisasi media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast