KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berserah kepada parti-parti pembangkang untuk bekerjasama dengannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Katanya, pendiriannya untuk bekerjasama dengan mereka tetap sama seperti PRU-14 yang lalu kerana ketika itu merasakan negara berdepan dengan kerosakan yang amat besar akibat perbuatan Datuk Seri Najib Razak dan kleptokrat di dalam kerajaan.
“Kerana itu saya ketepi perasaan peribadi dan sanggup telan kecaman yang kata saya jilat ludah sendiri apabila bertemu musuh musuh saya termasuk Datuk Seri Anwar untuk menjatuh musuh negara yang amat besar kejahatannya.
”Saya berasa pada ketika itu Datuk Seri Anwar juga berfikir semacam saya, dan sebab itu dia juga sanggup bekerjasama dengan saya.
”Atas sebab-sebab tersebut, semasa itu, saya sanggup memulakan langkah jika yang lain tidak sanggup memulakannya,” katanya bagi menjawab persoalan mengapa beliau sanggup bekerjasama dengan musuh-musuh politiknya ketika iti.
Dalam hantaran yang dikongsikan dalam Facebook, Mahathir berkata, keputusannya ketika itu telah membuah hasil hingga pembangkang berjaya jatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.
Oleh itu, tambah beliau, prinsip untuk bekerjasama dengan pembangkang masih tidak berubah.
” Yang saya tidak pasti ialah jika pemimpin-pemimpin pembangkang hari ini telah berubah fikiran dan perasaan terhadap UMNO. Saya juga tidak pasti jika pemimpin pemimpin pembangkang masih merasa UMNO akan merosakkan negara jika kembali memimpin dan akan membawa kembali kleptokrat untuk memerintah.
”Atau mungkin ada di kalangan pemimpin pembangkang bersedia bekerjasama dengan UMNO selepas pilihan raya. Kerana itu saya tidak memulakan langkah kecuali dengan mereka yang saya yakin berfikiran semacam.
”Untuk pemimpin pembangkang yang lain, kali ini terserah kepada mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette