Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mendapati tambang penerbangan untuk perjalanan pada 16 hingga 20 November ini telah turun setelah harganya naik mendadak berikutan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 19 November ini sebagai hari mengundi.

Pengerusinya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, purata tambang sehala semua syarikat penerbangan antara bandar di Semenanjung ialah RM185, tambang penerbangan antara bandar di Malaysia Timur adalah RM188 dan tambang sehala antara bandar di Semenanjung ke  Malaysia Timur ialah RM296.

“Pemerhatian suruhanjaya juga menunjukkan syarikat penerbangan telah memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun bagi tambang penerbangan untuk memudahkan pengguna bagi tujuan ini.

“Terdapat juga skim diskaun sedia ada yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan khusus untuk pelajar dan ini dapat membantu pengundi muda untuk keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Saripuddin, industri penerbangan telah menunjukkan sokongan bagi memudahkan pengundi menunaikan kewajipan mereka tanpa beban tambang penerbangan yang tinggi.

Bagaimanapun, tambah beliau, ia boleh ditambahbaik dengan syarikat-syarikat penerbangan memainkan peranan masing-masing dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, Saripuddin berkata, analisis Mavcom mendapati terdapat beberapa tambang sehala yang melebihi harga purata.

Berikutan itu, beliau meminta syarikat penerbangan menambah kapasiti di laluan terbabit bagi membolehkan tambang pada harga berpatutan ditawarkan kepada pengundi.

Kata beliau, berdasarkan data yang telah dikemukakan kepada pihaknya, semua syarikat penerbangan telah membuat perancangan untuk menambah penerbangan mulai November ini.

“Penerbangan tambahan yang dirancang termasuk 45 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke lokasi-lokasi terpilih di Semenanjung Malaysia manakala khusus bagi penerbangan yang beroperasi dari Subang sebanyak 30 penerbangan tambahan telah dirancang ke destinasi-destinasi terpilih di Semenanjung Malaysia.

“Di samping itu, 68 penerbangan tambahan telah dirancang untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur,” ujarnya.

Selain itu, katanya, Malaysia Airlines merancang menggunakan pesawat yang lebih besar, Airbus 330, bagi menampung permintaan yang tinggi. – MalaysiaGazette