KUALA LUMPUR – Seramai 140 pelajar daripada Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) Kampus UITM Kota Samarahan Sarawak akan melaksanakan Bengkel di Mekah dan Madinah sebagai melengkapkan Program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawif Umrah & Ziarah bermula semalam selama 12 hari.
Pengarah Urusan PMDIC, Abd. Halim Ikhsan berkata, jurusan diploma kemahiran itu merupakan satu-satunya jurusan pertama di Malaysia dan dunia yang memfokuskan kerjaya mutawif secara profesional.
Jelas beliau, menerusi program itu, pelajar diwajibkan untuk menduduki bengkel amali di Mekah dan Madinah bagi meningkatkan lagi pengalaman sebenar sebelum bergelar seorang mutawif.
“Sepanjang bengkel amali ini, pelajar akan melakukan sendiri urusan yang melibatkan kerja lapangan seperti melakukan sendiri urusan taklimat perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), urusan daftar masuk bagasi di KLIA sehingga urusan daftar masuk hotel, urusan imigresen, urusan ziarah dalaman di Madinah, urusan ziarah luaran Madinah, urusan ziarah luaran Mekah dan segala urusan yang melibatkan ibadah umrah dan lain-lain urusan.
“Cabaran yang dihadapi pelatih untuk bengkel yang julung-julung kali ini adalah disebabkan pelatih tidak mempunyai pengalaman ke Mekah dan Madinah sementelah pula dengan keadaan norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Abd. Halim menambah, kebanyakan pelajar yang terpilih merupakan mereka yang sedang melanjutkan pengajian di PMDIC Kampus UiTM Samarahan sejak setahun lalu.
Beliau memberitahu, skop pembelajaran diploma itu juga telah diperluaskan dengan menambah subjek pengurusan pelancongan agar kerjaya mutawwif pada masa akan datang tidak terhad hanya boleh membawa jemaah ke Mekah dan Madinah sahaja.
Malah ujar beliau boleh bekerjaya sebagai Muslim Tour Leader iaitu membawa pelancong ke seluruh dunia melalui pakej pelancongan Muslim.
“Program ini turut didedahkan dengan subjek asas Keusahawanan dalam menyediakan pakej atau penjualan produk, TITAS, asas Bahasa Arab serta subjek asas Bahasa Inggeris.
“Program ini juga berkolaborasi dengan universiti awam bagi subjek tambahan yang dipelajari bagi memantapkan pengajian sepanjang di PMDIC.
“Lanjutan daripada pembelajaran teori, pengajian ini diteruskan lagi dengan bengkel di Tanah Suci sebelum menghadapi latihan di Industri Pelancongan Umrah dan Ziarah selama empat Bulan.
“Pengalaman ini dipercayai mampu meningkatkan lagi mutu kebolehpasaran graduan melalui peluang kerjaya dalam bidang mutawwif yang professional dan lebih terancang,” katanya. – MalaysiaGazette