KUALA LUMPUR – Buat julung kali, WAFA Gallery menganjurkan Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 bertempat di Menara Condong, Teluk Intan, Perak selama dua hari bermula semalam.
Festival dianjurkan bagi menyemarakkan seni dan budaya menerusi dana yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) kepada WAFA Gallery.
Acara itu turut mendapat kerjasama Persatuan Penulis Peminat Sastera Perak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak dalam menyemarakkan lagi seni dan budaya.
Malam Gala Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang akan berlangsung pada malam esok dengan dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Dr Tan Awang Besar selaku tetamu kehormat.
Pengarah Urusan WAFA Gallery, Syed Yusof Wafa Syed Nordin berkata, festival berkenaan dianjurkan secara percuma dan terbuka kepada orang ramai.
“Saya berharap menerusi penganjuran festival ini generasi baharu akan lebih mengenali dan mencintai seni budaya yang menjadi peninggalan nenek moyang yang sepatutnya dibanggakan, bukan dilupakan.
“Pada malam gala, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan Raja Syair Nusantara, Roslan Madun yang akan mendendangkan syair dan lagu rakyat yang cukup popular, Lemak Manis.
“Komposer Kamrul Hussin atau lebih dikenali Waklong bertindak sebagai pengarah muzik akan turut mempamerkan persembahan pukulan gendang, manakala Izz Hairy sebagai pengarah persembahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syed Wafa menambah, dua penyanyi tempatan, Jamilah Abu Bakar yang popular dengan lagu irama tradisional, zapin dan keroncong akan tampil dengan lagu Sayang Di Sayang, manakala Cikgu Meera pula akan mendendangkan lagu Rindu Merindu.
“Jamilah dan Cikgu Meera juga akan berpadu suara menyampaikan lagu Nirmala dan Kurik Kundi,” katanya.
Beliau berkata, dia berharap festival itu akan dapat menyemarakkan seni budaya dan menonjolkan keunikan pukulan gendang daripada pelbagai kaum di Malaysia, selain memperkenalkan joget Pahang kepada generasi muda.
“Saya berterima kasih kepada MOTAC menyalurkan dana buat penggiat seni untuk terus berkarya. Langkah ini dapat membantu kami kembali aktif selepas dua tahun berdepan pandemik Covid-19.
“Selain joget Pahang, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan tarian India dan Cina.
“Pengunjung juga boleh nikmati makanan enak dan lazat apabila kendera saji turut berada sekitar kawasan Menara Condong,” katanya.
Tidak ketinggalan, pengunjung juga akan dihiburkan dengan pertunjukan buskers, silat dan senamrobik untuk memeriahkan festival, kata Syed Wafa.
“Saya berharap pengunjung tidak kira di Perak mahupun kawasan lain datang beramai-ramai bersama keluarga untuk memeriahkan festival ini.
“Inilah masa bersama keluarga, sesuai dengan slogan Keluarga Malaysia untuk mengenali seni dan budaya masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette