PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) khas untuk pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selewat-lewatnya, Isnin depan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini SOP itu masih dalam peringkat perbincangan antara KKM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan ada beberapa kekangan yang perlu diperhalusi.
“SOP PRU15 masih dalam perbincangan, SPR telah pun minta maklum balas daripada KKM yang terbaru
“Ada beberapa perkara yang SPR boleh buat, ada mungkin dia susah nak buat
“Kita akan bagi maklum balas dalam sehari dua inilah,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa parti politik menggesa SPR mengumumkan SOP dan pelan kontigensi sekiranya banjir melanda ketika PRU15.
Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, SOP itu perlu mengambil kira jika pusat daerah mengundi (PDM) terbabit dengan banjir.
Selasa lepas, SPR mengumumkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15, sementara hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal ialah pada 15 November ini. – MalaysiaGazette