Abdul Halim Husin. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) mendesak kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menangguhkan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, keputusan kerajaan yang menghantar dokumen ratifikasi CPTPP ke New Zealand pada 29 September lalu dibuat secara tergesa-gesa sedangkan analisa kos dan manfaat (CBA) belum diperhalusi sepenuhnya.

“Sebaik sahaja PRU15 berakhir, kerajaan baharu hanya ada kurang dari 10 hari untuk membuat keputusan hidup atau mati, sama ada meneruskan atau sebaliknya.

“Kita mendesak kerajaan untuk menarik balik keputusan meratifikasi CPTPP serta-merta. Dalam tempoh 60 hari lagi, rasmilah Malaysia sebagai negara anggota CPTPP yang tidak akan teragak-agak menghukum ahli yang ingkar.

“Keputusan untuk mengaktifkan keahlian Malaysia melalui serahan IOR ini dibuat di tengah keributan politik, walhal CBA belum dihadam sepenuhnya terutama oleh agensi kerajaan dan pertubuhan berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sesi libat urus Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama pemegang taruh seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) juga belum berjaya menjawab persoalan penting.

“Bagaimana kerajaan mahu meneruskan polisi pembangunan dan kesejahteraan ekonomi di bawah Perkara 153 apabila CPTPP menuntut liberalisasi sepenuhnya dalam tempoh tujuh hingga 20 tahun selepas berkuatkuasa.

“Apakah jaminan oleh Ketua Setiausaha dan Ketua Perunding CPTPP MITI bahawa kuota import Bumiputera tidak diganggu terlalu simplistik kerana itu hanyalah sebahagian kecil daripada banyak lagi isu melibatkan Bumiputera.

“Pengeksport Malaysia yang dikecualikan tarif pasti akan terhalang oleh non-tariff barriers (NTB) negara-negara pengimpot, dan kebanyakan mereka khususnya dari kalangan MSME memang belum ada pengalaman eksport,” katanya.

Tambahnya, Malaysia didakwa terlalu baik hati, bukan sahaja menghapuskan tarif import sepenuhnya, bahkan hampir langsung tidak meletakkan sekatan bagi melindungi ekonomi domestik.

“Pengimpotan pisang yang dikenakan 5 peratus tariff akan menjadi sifar setelah CPTPP berkuatkuasa.

“Bagaimana agensi seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dapat menjamin pengusaha-pengusaha ladang pisang mampu bersaing dengan pengimpot?

“Atau sememangnya mahu dibiarkan sahaja kebanjiran produk import tanpa sebarang halangan,” katanya.

Menurutnya, MITI didakwa tidak berminat mengkaji kesan buruk CPTPP dengan lebih teliti bersama pihak lain, sebaliknya berterusan mencanang keuntungan tidak seberapa terutama kepada kumpulan pengilang dan pengekspot yang dikuasai peniaga berbangsa asing.

“Sebenarnya risiko terbesar keanggotaan Malaysia dalam CPTPP ialah terhakisnya ruang polisi kerajaan untuk melaksanakan agenda pembangunan negara.

“Ruang ini amat mustahak terutama dalam iklim ekonomi domestik, serantau dan global pasca Covid-19 yang masih tidak menentu,” katanya.

Jelasnya, hanya empat agensi sahaja yang dikategorikan sebagai Bumiputera sedangkan Malaysia mempunyai lebih 50 agensi berkaitan Bumiputera.

“Sekiranya MITI sendiri pun masih keliru, bagaimana hendak kita harapkan ahli-ahli CPTPP yang lain atau tribunal ISDS untuk memahami takrifan atau kepentingan Melayu, anak Sabah, anak Sarawak dan Orang Asal,” soalnya.

Katanya lagi, MTEM melahirkan kebimbangan, dalam usaha menyokong liberasi ekonomi, Malaysia sebenarnya telah menjerat diri sendiri.

“Parlimen tidak berani lagi mengubah dasar melibatkan keselamatan makanan seperti menyekat pengimportan ayam bagi melindungi pengusaha tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast