KUALA LUMPUR – Menyimpan wang atau menabung secara konsisten bukanlah sesuatu perkara yang mudah terutamanya dengan faktor gaji yang tidak selari dengan kos perbelanjaan bulanan individu.

Komitmen bulanan yang tinggi seperti melunaskan pelbagai bil bulanan, menampung perbelanjaan keluarga, insurans, serta pembayaran pinjaman bank menyebabkan ramai yang tidak mempunyai baki gaji untuk disimpan.

Hakikatnya, tidak kira besar atau kecil pendapatan, perancangan perbelanjaan amat penting bagi memastikan kewangan kukuh terutamanya ketika menghadapi perkara yang tidak diduga.

Naib Presiden Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi berkata, setiap individu yang bekerja disaran untuk mempunyai tabung kecemasan bagi memastikan kesediaan dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka seperti perbelanjaan perubatan atau kehilangan sumber pendapatan.

“Sekiranya ada tabung kecemasan, kelangsungan hidup tidaklah terjejas secara mendadak sehingga perlu mengikat perut atau meminjam wang daripada kawan,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Beliau berkata antara kesilapan yang sering dilakukan dalam perbelanjaan kewangan ialah pembelian dorongan serta terikut-ikut akan trend FOMO (fear of missing out) di media sosial dan  tabiat pembelian tanpa dirancang terutamanya menggunakan khidmat ‘beli dahulu bayar kemudian’ melalui kad kredit yang akan mengundang bebanan hutang yang tinggi sehingga ada yang disenaraihitamkan dan muflis.

“Pembahagian pendapatan serta perbelanjaan seeloknya mengikut kaedah yang dicadangkan oleh ikon pengurusan PIDM iaitu Chief BerUang, dengan menggunakan formula 10-10-10-70 iaitu 10 peratus untuk simpanan, 10 peratus bagi kecemasan, 10 peratus insurans dan 70 peratus perbelanjaan,” katanya.

Wan Ahmad Ikram berkata setiap individu juga perlu mengetahui status kewangan peribadi semasa bagi mengelak perbelanjaan luar kawalan, membina daya tahan serta mengurangkan potensi kesan kewangan ketika waktu di luar jangkaan.

Katanya dengan mengetahui kewangan semasa, pengubahsuaian dapat dilakukan seperti menentukan perbelanjaan yang boleh dikurangkan atau tidak perlu supaya wang simpanan dapat ditambah atau mencapai sasaran kewangan bagi tujuan tertentu.

“Bagi membantu individu memulakan pengurusan kewangan secara berhemah, PIDM menyediakan Kalkulator SPK (Sedia Payung Kewangan) yang akan memberi ringkasan pendapatan dan komitmen bulanan, serta lebihan tunai untuk memulakan simpanan dalam waktu yang disasarkan,” katanya.

Kalkulator SPK merupakan suatu platform interaktif yang mengimbangkan pendapatan dan perbelanjaan individu serta membuat pengiraan jumlah yang diperlukan untuk simpanan tabung kecemasan.

Menariknya, kalkulator SPK akan mengirakan simpanan yang sepatutnya untuk tujuan kecemasan serta memberi tip bagi memudahkan individu untuk membuat pengubahsuaian terhadap perbelanjaan serta komitmen bulanan.

“Kalkulator ini membantu individu membuat penyesuaian terhadap komitmen bulanan untuk mencapai tahap simpanan bagi tujuan kecemasan dalam tempoh yang ditetapkan sendiri dan pengiraan ini adalah secara automatik,” katanya.

Terdapat juga ikrar peribadi yang boleh dimuat turun sebagai ‘wallpaper’ telefon bagi dijadikan motivasi untuk individu terus menyimpan serta mengawal perbelanjaan supaya dapat mencapai sasaran simpanan.

Beliau berkata individu yang mahu membina tabung kecemasan boleh menilai kewangan untuk masa kecemasan dengan Kalkulator SPK secara percuma tanpa sebarang pendaftaran diperlukan di www.pidm.gov.my/SPK.

“Kami mahu membantu rakyat Malaysia untuk membina daya tahan daripada segi kewangan serta mula memperbaiki kedudukan kewangan mereka tanpa perlu menunggu peristiwa yang memberi kesan dalam kehidupan mereka,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast