Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin beramah mesra bersama pelajar yang menerima sijil pada Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antalogi Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1), Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Bagi memupuk dan mengasah kemahiran menulis dalam kalangan pelajar, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, bengkel ini merupakan inisiatif berterusan dan usaha komited  pihaknya dalam memastikan pelajar khususnya Tahun 4, 5 dan 6 yang mempunyai bakat menulis mendapat peluang dan ruang mengasah kemahiran masing-masing.

“Melalui pendekatan ini anak-anak yang berkebolehan menulis melihat mereka ada peluang menulis dengan teratur dan insyallah ini membina minat hukan hanya menulis cerpen tetapi dokumen-dokumen dan apa sahaja karya pada masa akan datang.

“Pendekatan ini untuk memastikan anak kita di sekolah di beri seluas-luasnya ruang, kita gilap setiap yang ada potensi supaya mereka rasa ada kekuatan dalam bidang tertentu,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Precint 16(1).

Ujar beliau, bengkel berkenaan diadakan di seluruh negara selepas projek rintis yang dilaksanakan di Kelantan menerima sambutan yang baik.

Untuk rekod, bengkel tersebut merupakan salah satu komponen di bawah Sekolahku Sejahtera.

Salah satu pengisiannya adalah Bengkel Penulisan Cerpen (Penulis Cilik) peringkat Kebangsaan yang dianjurkan ITBM dengan kerjasama Yayasan Didik Negara serta Jabatan Pendidikan Negeri.

Dalam masa sama, Radzi hari ini turut melancarkan Cerpen Penulis Cilik bertajuk Semanis Jala Mas yang menghimpunkan 31 buah cerpen berkisarkan budaya setempat negeri Kelantan.

Cerpen berkenaan merupakan hasil penulisan murid Tahun 5 dan 6 dari sekolah terpilih di Kelantan yang berjaya digilap  menerusi bengkel penulisan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast