Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bergambar bersama tiga calon selepas sidang media mengenai pengumuman calon PRU15 di Pejabat Parti MUDA, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM,29 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengesahkan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ia berjaya dimeterai hari ini berlandaskan tiga kata sepakat yang dipersetujui bersama.

“Pertama, MUDA sebagai pakatan pilihan raya dengan PH sebulat suara menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Kedua, menerusi rundingan itu juga telah dipersetujui agar tiada pertembungan kerusi antara MUDA dan PH dan ketiga MUDA ada fleksibiliti untuk guna logo MUDA dalam PRU15,” katanya pada sidang media penamaan calon di sini hari ini.

Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz bercakap pada sidang media mengenai pengumuman calon PRU15 di Pejabat Parti MUDA, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM,29 OKTOBER 2022.

Amira yang juga Timbalan Presiden MUDA berkata, berikutan fleksibiliti yang diberikan, partinya mengesahkan akan menggunakan logo MUDA dalam PRU15.

Jelasnya, gabungan pakatan tersebut disambut baik oleh semua akar umbi MUDA memandangkan parti itu mempunyai visi yang sama dengan PH.

“Kerjasama ini adalah satu berita gembira memandangkan ini adalah kali pertama MUDA bertanding dalam PRU dan kami tekad untuk berjuang bersama berlandaskan visi yang jelas bersama PH,” ujarnya.

Pada 6 September lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan bahawa partinya yang dikatakan mewakili suara golongan muda telah memohon untuk menjadi sebahagian daripada PH. – MalaysiaGazette