KUALA LUMPUR – “Nepotisme masih wujud dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).”
Itu pandangan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfiq Yaakub yang berpendapat, amalan politik anak-beranak tidak dapat dipisahkan dalam PKR.
Beliau berkata demikian bagi mengulas senarai calon yang diumumkan parti itu semalam dengan menampilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya kecewa dengan tindakan PKR mengumumkan tiga nama tersebut walaupun semalam ramai calon berkaliber tapi dengan tiga nama itu menunjukkan nepotisme masih wujud dalam PKR,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Anwar akan bertanding di Parlimen Tambun, isterinya di Bandar Tun Razak dan Nurul Izzah di Permatang Pauh.
Jelas Tawfiq, PKR ‘juara’ dalam mengamalkan nepotisme jika dibandingkan dengan beberapa parti lain termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
“Kalau banding dengan Pejuang, Tun Mahathir (Mohamad) dengan Datuk Seri Mukhriz, baru ada dua calon. UMNO pula tidak ada nepotisme yang berleluasa, misalnya jika mahu pertandingkan anak Datuk Seri Najib (Nizar) tapi Najib tidak bertanding,” ulasnya.
Pensyarah dari Fakulti Ekonomi Pentadbiran itu menaruh harapan agar PKR mampu menepis label nepotisme tersebut agar ia boleh dikenali sebagai parti perjuangan buat seluruh anak Malaysia, bukan perjuangan anak-beranak.
Sementara itu, mengulas mengenai peralihan penyandang Parlimen Hang Tuah Jaya yang akan bertanding di kubu kuat UMNO di Bagan Datuk, beliau menyifatkan langkah itu bukan untuk mematikan karier Shamsul Iskandar.
“PKR memang sudah nampak itu kerusi hitam yang sukar buat mana-mana calon menang di kawasan itu. Saya berpendapat mungkin ada strategi yang mereka ingin lihat apabila Shamsul itu sendiri sanggup bertanding di kawasan yang berpotensi untuk beliau tewas.
“Bagi saya, bukan untuk bunuh karier politik beliau tapi ia membuka laluan kerjaya politik yang lebih luas buatnya kerana jika Pakatan Harapan menang, Shamsul boleh diangkat jadi menteri jika tidak beliau boleh dilantik sebagai senator,” ulasnya.
Bekas Ketua Penerangan PKR itu menjadi pertaruhan besar yang menjadi tumpuan apabila bertanding di kerusi disandang Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Shamsul menjadi harapan PKR selepas terkenal dengan gelaran giant killer susulan berjaya menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka pada PRU-13, Tun Mohd Ali Rustam. – MalaysiaGazette
DAPIGS pun sama