SEPANG – Tindakan dua Menteri Besar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terpilih menjadi calon Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya menyerlahkan sikap hipokrit kononnya mahu menjaga rakyat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan mereka tidak senada dengan keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana alasan banjir.
“Ini adalah satu contoh hipokrasi PH. Mereka yang mainkan sentimen kebencian dan kemarahan rakyat, kononnya pilihan raya tahun ini tidak boleh diadakan kerana nak jaga rakyat hadapi banjir.
“Sebaliknya mereka sendiri bertanding Parlimen. Kalau betul nak jaga rakyat, nak pastikan kesiapsiagaan menghadapi banjir, biarlah orang lain jadi calon.
“Kenapa perlu Menteri Besar dan Ketua Menteri bertanding Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu Asyraf Wajdi melepaskan konvoi hampir 500 jentera bermotor Pemuda BN Sepang di Kompleks Komuniti Muhibbah di Tanjung Sepat.
Hadir sama, Pengerusi BN Sepang, Noorazli Said; Ketua MCA Sepang, Datuk Ng Chok Sin dan Ketua MIC Sepang, Datuk V. Gunalan.
Jumaat lalu, PKR mengumumkan 72 calon Parlimen yang dipertaruhkan dalam PRU15 pada 19 November ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun antara individu yang dinamakan sebagai calon, masing-masing di Gombak dan Port Dickson.
Asyraf mengakui beliau tiada masalah jika Menteri Besar terbabit mahu menjadi calon, namun bantahan mereka kepada pembubaran Parlimen gagal diterjemah dalam PRU15.
“Saya nak tunjukkan betapa hipokritnya golongan ini yang berterusan nak menipu rakyat.
“Sudahlah PRU14 lepas banyak janji dalam manifesto yang tidak ditunaikan sehingga rakyat kecewa dan hampa.
“Kali ini mereka masih lagi nak memainkan sentimen (banjir),” katanya.
Sebaliknya Asyraf Wajdi menasihatkan pembangkang tidak menanam kebencian dan politik hasutan yang berpaksikan kepada sentimen serta tidak berasas.
“Kita harus mendidik rakyat. berkempen berasaskan fakta dan menawarkan polisi dan dasar yang hendak diberikan kepada rakyat,” jelasnya.
Beliau melahirkan rasa kesal apabila kempen PH ketika ini hanya berkisar kepada menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat dengan melabelkan UMNO-BN sebagai parti salah laku rasuah.
“Mereka (PH) hanya mainkan isu UMNO-BN rasuah, UMNO-BN penyamun, itu sahaja.
“Apakah seolah-olah negara ini tiada sistem hukum, tiada undang-undang yang selama ini kita banggakan dan mudah diperkotak-katikkan.
“Kita sudah ada undang-undang, kita percaya kepada institusi kedaulatan undang-undang sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette