Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bercakap pada sidang media khas mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 di Laman Seri Ridzuan, Ipoh, Perak. Foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2022.

IPOH – Pengundi di Perak diminta tidak terpedaya dengan tipu daya pembangkang dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, apa yang disampaikan oleh pembangkang hanya untuk memberi keseronokan seketika sahaja.

“Ingat lagi sebelum ini beliau (Anwar) mahu mengambil gaji seringgit sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor? Gaji sahaja seringgit tetapi elaunnya berjuta-juta. Yang semua orang tahu gaji Anwar seringgit.

“Ini bukan bohong, jika tidak percaya tanyalah orang Selangor. Tanya yang jaga tabung PKR ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar. Semua ini retorik, jadi saya tidak begitu bimbang kerana saya tahu umum tidak akan terpedaya lagi.

“Orang Perak tidak akan terpedaya lagi. Jangan fikir dengan persepsi ada motosikal banyak di luar maknanya dapat undi paling banyak,” katanya kepada pemberita pada sesi temubual khas Menteri Besar Perak sempena PRU-15, di sini, malam tadi.

Kata Saarani, sebelum ini Anwar yang mengetuai Pilihan Raya Negeri (PRN) membawa pelbagai isu termasuk rasuah namun tetap kalah pada pilihan raya itu.

“Kemudian beliau ke Melaka pula, cara yang sama juga. Rombongan besar tapi balik kosong dan sama jugalah ceritanya di PRN Johor.

“Kini di Tambun, beliau guna lagi cara sama tetapi saya tengok pengundi kita sudah celik dan tidak akan sesekali terpedaya lagi,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast