Hampir kebanyakan pengundi di Tanjung Malim mahu kerajaan yang bakal memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 untuk segera memulihkan ekonomi.- Gambar hiasan.

TANJUNG MALIM – Hampir kebanyakan pengundi mahu kerajaan yang bakal memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk segera memulihkan ekonomi yang dikhuatiri semakin tidak stabil sehingga menyukarkan golongan peniaga.

Seorang warga emas, 73, yang sudah menetap di sini sejak 70 tahun lalu dan menjalankan perniagaan keluarga, Yee Yee Heng meluahkan rasa sukar bukan sahaja sebelum pandemik Covid-19 melanda sebaliknya untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Kata Yee Heng, keadaan ekonomi yang merosot selain keadaan harga barangan meningkat setiap masa di luar jangkaan menyebabkan dirinya dan peniaga lain terjejas teruk.

Yee Yee Heng  Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

“Kita cuma harap satu sahaja, tolong pulihkan ekonomi. Siapa pun kerajaan, tolong stabilkan keadaan ini. Kita sudah semakin susah, terdesak. Mohon kepada kerajaan dan wakil rakyat selepas PRU ini buatlah sesuatu untuk bantu kami,” katanya ketika ditemui oleh MalaysiaGazette baru-baru ini.

Manakala bagi Yee Seng Heew, 27 yang akan menjalankan kewajipan mengundi buat kali pertama pula berharap kerajaan akan datang dapat membantunya menstabilkan perniagaan yang sudah lama mengalami kerugian teruk.

“Tidak mahu apa-apa, tolong kami stabilkan bisnes. Bagi kami berniaga dengan baik. Betul, itu sahaja harapan saya. Jual beli rugi tapi saya tetap kena bayar cukai dan perbelanjaan lain. Memang susah sekarang ini.

Yee Seng Yeew. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

“Walaupun saya undi kali pertama, saya akan hati-hati memilih dan tengok mereka ada buat apa yang mereka janjikan itu,” ujarnya.

Manakala bagi G. Geetha, 40, pula yang sudah menetap di Tanjung Malim sejak lahir amat berharap wakil rakyat untuk terus memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan serta tidak berhenti separuh jalan terutamanya selepas menang PRU kelak.

“Saya tidak mahu cakap politik, semuanya sama sahaja. Siapa yang menang itu, tolong baiki keadaan dan kotakan semua janji sebelum menang, itu sahaja,” ujarnya.

G Geetha . Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

Dalam pada itu, bagi Khairul Sulaiman, 40, pula berharap wakil rakyat yang sudah menang untuk tampil bertemu dengan penduduk setempat, berbincang dan mendengar permasalahan mereka.

“Saya sudah duduk di Tanjung Malim ini lebih 20 tahun, jujur saya cakap wakil rakyat seperti Ahli Parlimen Tanjung Malim ini jarang sekali saya nampak. Banyak perubahan dilakukan oleh majlis daerah sahaja bukan wakil rakyat.

“Jarang jumpa pengundi malah saya sendiri tidak kenal siapa Ahli Parlimen Tanjung Malim, mungkin akan nampak muka masa PRU ini. Sepanjang saya duduk sini, saya tidak nampak wakil rakyat turun jumpa pengundi. Mungkin lepas ini kenalah berubah,” katanya.

Khairul Sulaiman. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

Bagi Siti Nurul Aslinda, 24, sebagai golongan muda dan kali pertama mengundi, dirinya  teruja untuk memilih wakil rakyat di kawasan ini dan berharap undi itu membawa manfaat kepada Tanjung Malim kelak.

“Tanjung Malim semakin maju juga, kita nampak ada Starbucks, ada yang lain-lain. Tempat yang ramai pelajar. Walaupun saya kali pertama mengundi, saya kena ‘pilih-pilih’ yang betul dulu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Siti Nurul Aslinda Mohd Nahrowei. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast