bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia menebus kembali kerugian yang dicatat Jumaat lepas untuk dibuka lebih tinggi pada pagi urus niaga Isnin, mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman  Wall Street menjelang mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bulan depan.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 6.10 mata kepada 1,453.41 selepas 10 minit diniagakan berbanding 1,447.31 penutup Jumaat.

Indeks utama itu memulakan urus niaga dengan meningkat 3.63 mata pada 1,450.94.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 279 berbanding 107, manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,717 tidak diniagakan dan 66 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 282.44 juta unit bernilai RM114.74 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street melonjak dengan ketara apabila Indeks Dow Jones meningkat sebanyak 2.6 peratus, didorong oleh keuntungan oleh Apple yang mencatatkan pendapatan yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Pelabur pula dijangka terus memantau beberapa siri peristiwa minggu ini termasuk keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS dan Bank of England untuk mendapatkan hala tuju  prospek ekonomi dan arah pasaran pada masa hadapan.

“Di pasaran tempatan, kami percaya tumpuan pelabur mungkin beralih kepada tema Pilihan Raya Umum ke-15 sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Bagi komoditi, minyak mentah diniagakan melebihi US$95 setong manakala harga minyak sawit mentah (MSM) jatuh di bawah RM4,000 setan,” katanya dalam nota hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok 5.0 sen menjadi  RM8.63, Public Bank meningkat 9.0 sen kepada RM4.47, Petronas Chemicals menambah 8.0 sen kepada RM8.86, CIMB peroleh 3.0 sen kepada RM5.59 dan IHH Healthcare meningkat 7.0 pada RM6.02.

Bagi saham aktif, Ta Win naik setengah sen kepada 7.5 sen, kedua-dua Tanco dan Top Glove masing-masing menambah 2.0 sen kepada 37 sen dan 81 sen, manakala Jade Marvel turun setengah sen kepada 28.5 sen dan Harvest tidak berubah. pada 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 90.88 mata menjadi 10,366.28, FBM 70 mengukuh 96.35 mata kepada 12,332.93 dan Indeks FBMT 100 meningkat sebanyak 93.40 mata kepada 10,108.25.

Sementara itu, indeks FBM Emas Syariah meraih 85.11 mata kepada 10,407.62 dan FBM ACE meningkat 29.09 mata kepada 4,910.39.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 144.68 mata kepada 16,530.72 dan Indeks Tenaga meningkat 1.39 mata kepada 698.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.30 mata kepada 176.75 dan Indeks Perladangan memperoleh 31.34. mata kepada 6,874.39. – BERNAMA