Pengundi Taiping mahu Barisan Nasional (BN) kembali memerintah negara sekaligus negeri Perak.- Gambar hiasan.

TAIPING – Penduduk dan pengundi tidak kira kaum di Taiping rata-rata melahirkan rasa rindu kepada kepimpinan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak berjasa kepada mereka sejak puluhan tahun.

Malah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini, segelintir daripada mereka juga mahu BN kembali memerintah negara ini khasnya negeri Perak itu sendiri.

Ketika MalaysiaGazette melakukan tinjauan orang ramai di sekitar Taiping, ramai dalam kalangan mereka mengimbau situasi sebelum berlaku pertukaran kerajaan beberapa kali sejak 2008 lagi.

Lee Seng Chung . Foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2022.

Bagi warga emas, Lee Seng Chung, 77, selama ini hanya BN banyak membantu kehidupannya selain membawa perubahan di Taiping yang sudah diduduki sejak 1946 lagi.

“Saya hendak BN kembali memerintah kerana mereka sahajalah yang banyak bantu golongan warga emas dan orang tua seperti kami pada setiap masa. Setiap tahun ada sahaja peruntukan untuk kami, saya sudah tinggal di Taiping lebih 60 tahun ini. Memang BN yang banyak bantu. Sayang kami.

“Pembangkang cakap sahaja. Mana ada tolong kami? Saya juga tidak mahu cakap buruk tentang mereka, kami hanya minta satu sahaja, kerajaan perlu jaga kami dan anak-anak kami. BN kena menang,” katanya.

Yeap Tak Leng . Foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2022.

Untuk Yeap Tak Leng, 70, keluarganya sudah menetap di Taiping sejak tiga generasi lepas dan berharap pada PRU kali ini adanya wakil rakyat dalam kalangan BN yang menang di kawasan itu.

“Saya penjual makanan gerai, harap BN boleh menang kali ini. Betulkan ekonomi untuk masa depan kita semua, itu sahaja kami harap. Ekonomi susah sekarang ini,” katanya.

Menurut Abdul Razak Hussain pula, Taiping kurang membangun kerana wakil rakyatnya seringkali bertukar dan situasi itu juga banyak merencatkan pembangunan kawasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Abdul Razak Hussain . Foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2022.

“Wakil rakyat selalu bertukar. Dulu BN, tapi sejak dua tiga penggal ini DAP pula jadi wakil rakyat. BN pandai jaga rakyat, bantuan juga tidak putus tiba.

“Saya harap sangat BN kembali, untuk kestabilan dan kemakmuran. Cukuplah kita susah 22 bulan kemudian 17 bulan. Kita haraplah BN kembali memerintah. Macam-macam berlaku bila diperintah PH dengan sistem kehakiman hinggalah kemerosotan ekonomi teruk,” tegasnya.

Kettelin Gyanapragasam . Foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2022.

Dalam pada itu, bagi Kettelin Gyanapragasam pula, tidak kira siapa pun jadi pemerintah tetapi diharapkan lebih efisien dan menangani segala permasalahan rakyat dengan adil tanpa janji-janji kosong. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast