Mutalib Uthman

IPOH – Pengerusi MUDA Perak, Mutalib Uthman memohon maaf kerana mengumumkan dirinya akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mutalib berkata, permohonan maaf itu merupakan tanda bahawa seseorang mempunyai sifat berani.

Mengaku kesalahan juga kata beliau, adalah satu langkah penting untuk berjaya.

Dalam penjelasan terbaharu, pengasas dan penaja bersama parti MUDA itu berkata, selepas berbincang dan berunding dengan semua, pihak Parlimen Tapah akan ditandingi oleh calon PKR.

Tambah Mutalib, beliau akan bertanding dan akan diberikan kerusi luar bandar dan kerusi milik menteri selaras perjuangan parti itu untuk PRU15 iaitu ‘MUDA lawan menteri’.

“Justeru, saya memohon maaf di atas segala kekhilafan yang telah berlaku. Mengaku salah dan mohon maaf, petanda jiwa yang berani.

“Berani mengubah kesalahan ke arah kebaikan adalah langkah awal menuju kejayaan. Ayuh kita fokus memenangkan PH dan MUDA,” katanya dalam kenyataan.

Mutalib bagaimanapun tidak menyatakan kerusi yang bakal ditandinginya nanti.

Terdahulu Mutalib membuat kejutan dengan mengumumkan dirinya akan bertanding di Parlimen Tapah.

Menurut beliau keputusan itu dibuat hasil rundingan kerjasama politik di antara MUDA dan Pakatan Harapan (PH).

Keputusan itu juga dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai status kerusi Parlimen Tapah dan Sungai Siput di Perak serta Sembrong di Johor.

“Untuk rekod, Parlimen Tapah merupakan kerusi luar bandar dan adalah kubu kuat Barisan Nasional yang kini disandang oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

“Untuk menyahut seruan, perjuangan ‘MUDA melawan Menteri’ sebagaimana di kerusi-kerusi lain yang ditandingi MUDA, saya, dengan rendah diri akan menjadi calon di Parlimen Tapah ini,” katanya.

Bagaimanapun tidak lama selepas beliau membuat kenyataan, Ketua Penerangan MUDA Luqman Long menafikan parti itu meletakkan calon di Parlimen Tapah.

Luqman menegaskan kerusi tersebut milik PH dan pihaknya komited untuk mengelakkan sebarang pertembungan dengan gabungan itu.

“Berkenaan kerusi Parlimen Tapah, MUDA ingin menyatakan bahawa kerusi itu milik PH, bukan MUDA.

“Komitmen MUDA-PH juga adalah untuk mengelakkan sebaran pertindihan kerusi antara Muda-PH.

“Sebarang kenyataan yang bercanggah dengan komitmen MUDA-PH ini adalah bukan kenyataan rasmi,” kata Luqman.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa susah kau tanding lah kt muar ganti sad dick tu sbb dia sibuk dgn mahkamah nt..klu lps dia nt kau lepas lah jwtn bg dia tanding balik mcm nuar buat kt port dickson, masa tu kau demand lah 100 juta baru sng hidup x yah ssh²…tp kena mng lah dulu ya hahahaha

Comments are closed.