Para pengundi Parlimen Tapah berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan Negeri Perak sekarang kerana pentadbiran Datuk Seri Saarani Mohamad telah memastikan kestabilan politik dan ekonomi. Foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2022.- Gambar hiasan

TAPAH – Para pengundi Parlimen Tapah berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan Negeri Perak sekarang kerana pentadbiran Datuk Seri Saarani Mohamad telah memastikan kestabilan politik dan ekonomi.

Kestabilan itu menurut mereka membolehkan negeri Perak menangani masalah berkaitan pandemik Covid-19 dengan baik sekali.

Rata-rata pengundi muda yang ditemui menaruh harapan kestabilan yang dinikmati oleh rakyat Perak khususnya di Tapah sekarang terus diperkasakan demi kemakmuran dan kesejahteraan penduduknya.

Rabihah Ismail

Seorang pengundi muda, Rabihah Ismail, 31, mengakui teruja untuk mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini dan berazam memberi undinya kepada parti politik yang boleh mengotakan janji yang ditawarkan.

“Saya mahu pemimpin yang apabila berjanji, dia buat dan bukan sekadar janji kosong untuk menang PRU15. Saya hendak kerajaan yang memberi penekanan lebih kepada golongan belia, lagi-lagi ketika dunia kini begitu pesat dengan teknologi.

“Saya mahu kerajaan yang menghargai belia, pemikiran kami lebih dan mampu mengembangkan bakat-bakat kami. Saya hendak kerajaan yang telus, adil dari semua segi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Rabihah yang mengikuti arus politik negara mengakui dia cukup senang dengan pentadbiran Menteri Besar Perak.

Katanya, Saarani bukan sahaja seorang pemimpin malah beliau juga dilihat sebagai pendidik dan mudah didekati oleh golongan muda.

“Dia (Saarani) okay, tip top kerana mampu mengemudi negeri ini dengan baik dan dekat dengan anak-anak muda,” tambahnya.

Mohd Faridzul Abdul Majid

Bagi Mohd Faridzul Abdul Majid, 30, beliau mahu Perak terus diterajui pemimpin yang mempunyai visi dan matlamat untuk memajukan Perak bagi memastikan pembangunan negeri ini setanding dengan bandar-bandar besar lain.

Jelasnya, pembangunan berterusan ini penting untuk memastikan aktiviti ekonomi terus rancak, sekali gus menawarkan banyak peluang kepada anak-anak muda.

“Perkara itu merupakan pertimbangan dalam menentukan undi saya. Sebagai orang muda, saya tidak mahu pemimpin negeri ini banyak berpolitik sehingga kemajuan negeri ini terjejas.

“Saya suka pemimpin yang berpandangan jauh, sentiasa mahu memajukan Perak, tidak meminggirkan anak-anak muda.

“Setelah begitu lama, negara kita berpolitik, saya percaya pengundi sudah tahu siapa dan calon mana yang akan diundi nanti,” ujarnya.

Gam Zhi Fung

Sementara itu, Gam Zhi Fung, 24, yang juga mengundi untuk kali pertama mengakui akan berhati-hati dalam menangkah untuk menentukan pemimpin yang bakal dipilih pada PRU15.

“Saya tidak boleh buat silap kerana ia menentukan nasib negara untuk lima tahun akan datang. Undi saya walaupun satu, sangat penting untuk saya mengekalkan atau mengundi pemimpin baharu.

“Manakala parti-parti politik banyak tetapi sudah tentu saya akan memilih wakil rakyat yang sentiasa ada dengan kami,” tambah beliau.

.

Mohd Akmal Sulihan

Bagi Mohd Akmal Sulihan, 28, pula  berpuas hati dengan pimpinan kerajaan negeri sedia ada kerana sentiasa mendahulukan rakyat.

Bagaimanapun, dia berharap kerajaan negeri yang akan dipilih nanti selepas PRU15 akan terus menitikberat pembangunan negeri supaya kedudukan Perak seiring dengan negeri-negeri lain yang maju.

“Kemajuan negeri dan daerah-daerah penting untuk kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast