ALOR SETAR – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat menolak usul yang dikemukakan Tan Kok Yew (PH-Derga) berkaitan anti lompat parti pada sesi persidangan hari ini.
Sebaliknya beliau menegaskan usul tersebut akan dibawa dan dibahas pada sesi DUN akan datang.
Bagaimanapun, tarikhnya belum ditentukan.
“Meskipun Parlimen telah menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) larangan lompat parti pada 5 Oktober lepas namun kerajaan negeri masih mempunyai masa untuk berbuat demikian.
“Usul dibawa Derga mengenai anti lompat parti ini baik dan memenuhi kriteria tetapi saya tolak.
“Ini dalam Perkara 6, Jadual 8 Negeri ada masa untuk kuatkuasakan Rang Undang-Undang lompat parti, kerajaan negeri pun sudah maklum, kita nak buat secara teratur Rang Undang-Undang lompat parti,” katanya sebelum sesi soal jawab pada Persidangan DUN di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa bermula 5 Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September lalu. – MalaysiaGazette