Lim Kit Siang.-Foto SYAFIQ AMBAK, 07 NOVEMBER 2021.

IPOH – Lim Kit Siang menganggap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim paling komited untuk melaksanakan dasar ‘Ketuanan Malaysia’ dan bukannya “Ketuanan Melayu”.

Menurut veteran DAP itu, berbanding calon-calon perdana menteri dari parti lain, Anwar merupakan satu-satunya calon perdana menteri yang komited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia.

Menurut Kit Siang, calon-calon perdana menteri dari parti lain hanya menyebabkan prestasi negara terus merosot.

“Anwar pertamanya adalah seorang rakyat Malaysia, “Malaysian First” dan semua pemimpin politik dalam negara Malaysia yang hebat perlulah seorang “Malaysian First”.

“Calon-calon perdana menteri ke-10 yang lain Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, semua bertanggungjawab menyebabkan kemerosotan Malaysia dari salah satu negara terbaik di dunia kepada negara yang kini biasa-biasa sahaja.

“Dengan politik, ekonomi, pendidikan, dan pelbagai dasar-dasar pembinaan negara terus menjadi semakin teruk,” kata Kit Siang.

Beliau berkata, negara memerlukan dasar ketuanan Malaysia dan bukannya ketuanan Melayu sekiranya hendak menjadi negara majmuk hebat bertaraf dunia.

Veteran DAP itu dalam kenyataan di media sosial mendakwa, dasar ketuanan Melayu hanya satu helah golongan ‘UMNO-putra’ untuk mengkayakan diri secara melampau.

Dasar ketuanan Melayu tersebut, katanya, dalam masa yang sama menyebabkan orang-orang Melayu dan bumiputera yang lain terus miskin dan ketinggalan.

Kit Siang yang dulu dikenali sebagai pejuang ‘Malaysian Malaysia’ berkata, dasar ketuanan Melayu tersebut bertentangan pembinaan negara Malaysia.

“Dasar ini bertentangan dengan prinsip asas pembinaan negara Malaysia, di mana setiap rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak adalah sama-sama rakyat Malaysia, bahawa tidak ada beza rakyat kelas pertama, kelas kedua atau kelas ketiga.

“Pilihan Raya Umum ke-15 di Malaysia sedikit sebanyak sudah mengambil ciri-ciri pilihan raya presiden seperti di Amerika Syarikat kerana rakyat Malaysia kini akan memilih siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10,” kata Kit Siang.

Dalam program Jelajah Malaysia menjelang PRU15 pemimpin Pakatan Harapan mempromosi Anwar sebagai calon perdana menteri gabungan mereka.

Anwar yang meninggalkan Parlimen Port Dickson memilih bertanding di Parlimen Tambun pada pilihan raya yang akan berlangsung pada 20 November ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast