AMPANG – Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat tidak khuatir dengan saingannya yang bakal bertanding di Parlimen Pandan.
Sebaliknya beliau akan berusaha dalam tempoh berkempen menggunakan pengalamannya dalam arena politik berpuluh tahun sebelum ini.
“Saya rasa tidak ada sebarang perbezaan siapa yang akan bertanding di Pandan untuk calon lawan saya. Yang kita sudah tahu Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR) ada lagi mungkin yang kita belum tahu.
“Bagi saya setiap kali saya bertanding seperti dulu di Ampang Jaya dan selepas itu di Pandan saya sudah tentu berikan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media, selepas Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan calon parti tersebut yang akan bertanding di beberapa buah negeri di Semenanjung pada pilihan raya kali ini.
Ong sebelum ini pernah menjadi Menteri Pengangkutan.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Pandan pada 2004 hingga 2013.
Terdahulu, Ong dalam ucapannya berkata, pengundi Pandan mendakwa wakil rakyat Parlimen tersebut iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
“Kalau sebelum ini Pakatan Harapan (PH) dapat peruntukan RM3.5 juta selepas sokong bajet, tapi saya pernah tanya kawan-kawan saya di Pandan apakah mereka ada rasa wang ringgit yang turut diberikan kepada wakil rakyat Pandan sebelum Parlimen bubar? Jawapannya tidak sama sekali,” menurut beliau.
Sebagai rekod, Wan Azizah pada pilihan raya yang lalu menang 52,543 undi majoriti menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Leong Kok Wee.
Manakala PRU kali ini, PKR akan mencalonkan Rafizi Ramli di Parlimen itu.-MalaysiaGazette