IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak mengekalkan 15 penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mereka adalah Datuk Aznel Ibrahim (Pangkalan Hulu), Salbiah Mohamed (Temengor), Datuk Seri Saarani Mohamad
(Kota Tampan), Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu) dan Mohamad Noor Dawoo (Selinsing).
Turut dicalonkan semula Mohd. Kamaruddin Abu Bakar (Kuala Sepetang), Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering), Jamilah Zakaria (Trong), Datuk Mohd. Zolkafly Harun (Lintang) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja).
Juga tersenarai Khairul Shahril Mohamed (Bota), Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah), Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Khairuddin Tarmizi (Hutan Melintang) dan Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin (Changkat Jong).
Pengumuman dibuat oleh Saarani yang merupakan Pengerusi BN Perak hari ini. Hanya empat kerusi yang tidak diumumkan iaitu DUN Aulong, Jelapang, Sungkai dan Buntong.
Pada PRU14, BN menang 27 daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan.
BN Perak menyasarkan untuk menang 40 kerusi pada PRU15 dengan tema Kestabilan Demi Kesejahteraan Perak Makmur Rakyat Sejahtera.
Dalam ucapannya Saarani berkata, beliau berharap mereka yang tidak dicalonkan supaya reda kerana matlamat perjuangan parti itu adalah untuk mencapai kemenangan pada PRU15.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan minta maaf kepada rakan-rakan yang namanya tidak tersenarai. Kita harap semua reda.
“Kerana perjuangan kita matlamatnya bukan untuk menjadi calon, perjuangan kita matlamatnya ialah menang pilihan raya.
“Perjuangan kita matlamatnya ialah untuk kembali menjadi kerajaan negeri Perak dan juga kerajaan Malaysia,” kata Saarani.
Sementara itu dalam sidang media Saarani berkata, penyandang kerusi yang tidak dicalonkan bukan bermakna nama mereka digugurkan sebaliknya perkhidmatan bekas wakil rakyat itu tidak disambung semula.
Menurut beliau, BN memerlukan muka baru bagi memenangi PRU15.
“Ada beberapa faktor seperti bekas ADUN Kendering dia telah umumkan menarik diri. Macam Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman adalah keputusan parti. Datuk Seri Nazri Aziz kita faham dia umum tidak mahu bertanding.
“Kuala Kangsar Mastura dia tak dicalonkan semula, jadi kita cari calon pengganti. Alasan dia adalah kita perlu meletakkan muka baru,” jelas beliau.
Menurut beliau antara muka baru yang dicalonkan terdiri daripada empat Ketua Pemuda UMNO Bahagian, lima Ketua Wanita UMNO dan seorang Ketua Puteri UMNO. – MalaysiaGazette