abdul hadi awang urusan mahkamah
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan tindakan campur tangan dalam urusan mahkamah sebagai antara kerosakan terbesar yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) semasa memerintah negara selama 22 bulan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Peguam Negara yang dilantik dalam kalangan pro-PH telah menggugurkan kes-kes mahkamah yang melibatkan pemimpin PH sepanjang 2018 sehingga awal 2020.

Sebaliknya, menurut beliau, hanya pemimpin UMNO sahaja yang diteruskan perbicaraan di mahkamah.

“Adapun orang-orang PH yang mempunyai kes salah laku, rasuah dan lain-lain dihentikan perbicaraan mereka.

“Tindakan sebegini adalah salah sama sekali dari sudut etika dan sifat integriti,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, malam ini.

Sebanyak 15 kes mahkamah digugurkan semasa zaman PH yang antaranya melibatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Abdul Hadi menambah, Pas menentang habis-habisan amalan rasuah, namun tidak bersetuju jika hanya pemimpin UMNO sahaja yang dibicarakan.

“Sedangkan orang-orang PH dihentikan perbicaraan mereka tanpa bersikap adil kepada semua pihak yang telah menghadapi pelbagai pertuduhan di mahkamah.

“Jika PH benar-benar bermaruah dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, kenapa mereka campur tangan dalam urusan mahkamah?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.