IPOH – Pesanan pahlawan Melayu Mat Kilau agar jangan sampai kehilangan tanah air menjadi ingatan buat pengundi di Parlimen Tambun.
Menurut Muhammad Musa Maarop, 49, pesanan wira menentang penjajah itu amat wajar menjadi pedoman ketika pengundi khususnya di Parlimen Tambun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya nasihatkan kepada pengundi khususnya orang Melayu ingatlah bahawa agama, bangsa dan tanah air kita. Walau di mana kita duduk, kita jangan salah bagi kuasa pada orang akibatnya merana dirilah.
“Kita kena ingat kisah-kisah sejarah lalu. Semua jadi iktibar. Pesanan Mat Kilau ‘ingat jangan sampai bangsaku tidak ada tanah’ perlu disemat dalam hati,” kata peniaga jalanan tersebut.
Seorang peniaga pasar malam di sini Mohamad Elan Hamid 53 pula mahu wakil rakyat yang betul-batul boleh berkhidmat kepada masyarakat.
Menurut Mohamad Elad calon-calon yang bertanding selalunya akan hadir berjumpa peniaga pasar malam ketika berkempen sahaja.
Selepas menang calon terbabit tidak langsung mengambil tahu nasib mereka.
“Saya sebagai Setiausaha Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Pasar Malam Kinta memang perlukan seorang pemimpin yang prihatin dengan nasib kami semua.
“Kami meniaga ada risiko hujan, ribut, musim tengkujuh jadi jika tidak ada bantuan untuk peniaga pasar malam memang kami sedih sekali.
“Pemimpin tak perlu datang tengok kami mereka hanya perlu prihati. Macam pemberian RM500 ada peniaga yang tertinggal,” kata beliau kesal.
Sementara pengundi muda dan kali pertama mengundi Mohhamad Aidil Putra Suwirman 22, dia telah membuat kajian calon mana yang akan dipilih nanti.
Katanya, keluarga dan jiran tidak langsung mempengarui keputusan yang akan dibuat sambil menyatakan perasaan terkejut kerana Presidan PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Tambun.
“Terkejutlah dia bukan orang sini tiba-tiba dia datang sini memang terkejutlah. (Tak suka dia bertanding?) Tak bolehlah nak beritahu suka ke tak, tapi terkejut jelah. Buka Facebook tengok dia bertanding di sini.
“Sebenarnya saya teruja nak mengundi dan minta mereka yang menang akan buat yang terbaiklah. Buat kajian tu memang adalah saya akan pilih mana yang terbaik,” katanya yang membantu ayahnya berniaga apam balik.
Seorang lagi peniaga, Shamsul Bahari Ariffin, 34 mahu calon yang menang di Tambun agar memberi perhatian sepenuhnya terhadap peniaga Melayu.
Katanya, wakil rakyat yang terbaik adalah calon anak tempatan yang benar-benar mengetahui masalah rakyat di kawasan yang diwakili nanti.
“Sebaiknya wakil rakyat dari kawasan ini kerana dia tahu di mana masalah dalaman rakyat. Kita tidak mahu bila mengadu masalah ibarat mencurah air ke daun keladi
“Harap pemimpin membantu, kita tidak minta duit tapi membantu mudahkan. Contoh tapak kita nak berniaga kena ambil lesen. Memang wajib ambil lesen. Tapi kita susah nak masuk tapak meniaga. Kita ini sudahlah mencari rezeki hanya harapkan meniaga sahaja,” kata beliau.
Zarida Zaini, 50 pula berkata, dia sudah cukup berpuas hati dengan kerajaan yang ada.
Ini kerana semua bantuan yang dia mahukan boleh dapat dengan mudah.
“Saya rasa semua mencukupi. Dari dahulu sudah ada bantuan untuk peniaga kecil. Sekarang ini sudah okay. Tengok dulu sudah tukar apa jadi? Undi kita adalah rahsia,” katanya sambil ketawa.
Parlimen Tambun menjadi perhatian dan sengit kerana Pakatan Harapan (PH) meletakkan Anwar sebagai calon.
Sementara Timbalan Presiden Bersatu yang juga bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mempertahankan kerusi itu. Ahmad Faizal menang kerusi itu atas tiket PH pada PRU14.
Barisan Nasional pula mencalonkan Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah.-MalaysiaGazette