Calon PN di Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan
Calon PN di Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai agenda sulit mahupun program untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin tertentu sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PN hanya bermatlamat untuk menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan semula ekonomi negara.

“Rakyat tidak mempunyai banyak pilihan yang munasabah. Barisan Nasional akan mengangkat (Datuk Seri) Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri dan keutamaan mereka adalah memperkaya diri dan menyelamatkan diri.

“Pakatan Harapan akan mengangkat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan agenda mereka akan merosakkan struktur asas Perlembagaan negara.

“Malahan, Zahid Hamidi pernah berpakat untuk mengangkat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Mereka berdua juga tidak pernah menafikan secara tuntas dakwaan bahawa ada pakatan untuk Zahid dan Anwar bekerjasama selepas PRU15.

“Pilihan yang munasabah hanyalah satu iaitu Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Wan Saiful berkata, pengundi hanya mempunyai PN sebagai pilihan dalam memastikan nasib rakyat Malaysia dapat dibela.

“Hanya Perikatan Nasional menawarkan kerajaan prihatin yang bersih dan stabil, di bawah kepimpinan dua tokoh hebat iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful mengucapkan terima kasih kepada PN kerana mencalonkan beliau di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU kali ini.

Nama Wan Saiful diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

“Saya mohon pengundi Tasek Gelugor bantu saya untuk menyumbang satu kerusi yang akan digunakan untuk menolak pakatan Zahid-Anwar, dan menjulang kepimpinan Muhyiddin-Hadi,” katanya.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon UMNO, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi.

Bagaimanapun, Shabudin yang menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor selama dua penggal sejak PRU13 atas tiket UMNO mengumumkan keluar parti pada 14 Disember 2018 sebelum menyertai Bersatu pada 2019. – MalaysiaGazette