isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Tidak salah seorang professor bidang seni bina seperti Dr Tajuddin Mohd Rasdi menjadi penganalisis politik.

Tetapi biarlah analitikal dan bebas, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zakarshi.

Menurutnya, jika dibuat perbandingan antara Tajuddin dengan penganalisis politik lain seperti Dr Awang Azman Awang Pawi, Dr Azmi Hassan dan juga Dr Sivamurugan Pandian, memang jauh macam langit dengan bumi.

“Seorang ahli akademik tidak patut melabel orang lain jika mahu membuat analisis akademik,” katanya yang mengulas kenyataan Tajuddin yang menuduh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menjatuhkan politik Melayu ke tahap paling rendah.

Tajuddin dalam kenyataan yang dipetik dari sebuah portal berkata, Akmal berjaya menjatuhkan kedudukan politik Melayu ke tahap paling rendah dengan melakukan apa yang dianggap sebagai mustahil.

“Selepas 30 tahun meneliti dunia politik Melayu, saya fikir saya telah menyaksikan ahli politik dan pemimpin Melayu yang tidak senonoh.

“Tetapi Akmal dapat hadiah utama,” kata Tajuddin yang mengulas kenyataan Akmal berhubung cadangan Ahli Parlimen DAP Chow Yu Hui untuk jawatan menteri persekutuan diwujudkan bagi hal ehwal bukan Islam.

“Bila yang jadi wakil rakyat ni tidak tahu tahu fungsi kerajaan dan perlembagaan dan sensitiviti yang perlu dihormati maka lahirlah wakil rakyat yang terlalu bangang begini rupanya.

“Kalau idea begini pun disokong dan tuduh orang yang menentang ini penyokong pembangkang, maka jawapan saya kepada kamu adalah, lebih baik pergi mati saja!” tulis Akmal dalam satu catatan di media sosial.

Dalam pada itu, Puad turut mempersoal kenyataan Tajuddin yang mempertikaikan gelaran Datuk kepada Akmal.

“Dia (Tajuddin) menghina rakyat yang memilih Dr Akmal dan juga TYT Melaka yang menganugerahkan gelaran Dato itu. Bukan Akmal yang menjatuhkan imej politik Melayu, sebaliknya Dr Tajuddin menjatuhkan maruah ahli akademik.

“Tajuddin tidak patut memihak. Yang menjatuhkan maruah politik Melayu ialah, apabila bercakap dia bohong, bila berjanji dia tidak tunaikan dan bila diberi amanah dia tidak mampu laksanakan,” katanya sambil menasihat Tajuddin supaya jangan tutup mata sebelah, jangan buat analisis cetek dan elakkan diri daripada dituduh pencacai politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast