Bangunan Dewan Bandaran Ipoh di Perak. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2022.

IPOH – ‘Muka-muka lama’ yang digelar calon dinosaur mungkin tidak akan jadi pilihan kepada pengundi di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

Pesara bank, Syed Mahathir Dzir 60 berkata, pengundi seharusnya memberi lebih banyak peluang kepada muka baru dan muda untuk menjadi wakil mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Orang awam, Syed Mahathir Dzir, 60 di temu ramah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi ketika di sekitar, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2022.

“Sudah sampai masanya kita kena tukar. Jangan simpan dinosaur-dinosaur tu. Tak boleh pakai. Masuk muzium. Kena beri muka-muka baru yang akan jaga negara kita. Bangunkan negara kita.

“Muka-muka lama itu perlu ditolak ketepi. Itu semua merosakkan negara. Bagi generasi baru kita. Mereka pun tahu macam mana nak bina negara ini,” katanya.

Menurut Syed Mahathir, sekiranya pemimpin baharu itu tidak menunjukkan prestasi, rakyat boleh menukar mereka pada pilihan raya akan datang.

Bagi mekanik motor Looi Weng Fun, 23 yang pertama kali mengundi akan memilih pemimpin yang boleh meningkatkan ekonomi negara.

Orang awam, Looi Weng Fun, 23 di temu ramah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi ketika di sekitar, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2022.

Menurut beliau sekiranya ekonomi kukuh rakyat tidak perlu mencari pekerjaan keluar negara seperti pergi ke Singapura.

“Harap kerajaan baharu beri semangat dengan gaji tinggi supaya rakyat dapat cari makan. Ekonomi sekarang tak macam dulu. Dulu gaji sikit pun sudah cukup. Sekarang RM2,000 di Ipoh ini tak cukup.

“Parti yang menang harap dapat majukan ekonomi, cari makan senang. Rakyat aman damai. Tak payah pergi Singapura kat Malaysia cari makan sudah cukup,” katanya.

Bekas guru N. Rajestwari, 72, pula berkata, beliau sememangnya menunggu pilihan raya berlangsung.

Beliau mahu memilih pemimpin baharu dan berhadap kerajaan yang dibentuk terdiri daripada pemimpin muda.

Orang awam, N. Rajestwari, 72 di temu ramah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi ketika di sekitar, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2022.

“Tengok ekonomi ringgit sudah jatuh barang sangat mahal, ramai tidak bekerja. Jadi tunggulah untuk keputusan yang baik. Saya tunggu kerajaan yang baru.

“Apa sahaja kerajaan, gabungan kerajaan pun tak apa tapi mesti baru dengan pemimpin yang lebih muda, bukan yang korup,” katanya.

Sementara itu bagi mekanik motosikal, Mohd. Azril Abdullah, 32 beliau tidak kisah siapa pun yang akan menjadi kerajaan, menteri besar dan perdana menteri.

Apa yang penting pemimpin yang dipilih nanti bertindak adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Orang awam, Mohd. Azril Abdullah, 32 ketika di temu ramah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi ketika di sekitar, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2022.

“Jangan masuk poket sendiri. Kita mengundi ini untuk kami semua bangsa bawah macam ini. Kalau boleh berlaku adil kepada semua agama dan bangsa. Jangan pilih bulu.

“Hidup di Malaysia ini kena damai. Bukan ada perang di sini. Nak buat gaduh.

“Bila berkempen nanti jangan berkelahi, lakukan secara sihat. Saya tengok di media ramai bertengkar sesama bangsa. Janganlah macam tu,” katanyA.

Perak mempunyai 24 Parlimen dan 59 Dewan Undangan Negeri.

Pada pilihan raya lalu Pakatan Harapan (PH) menang 13 kerusi Parlimen sementara Barisan Nasional (BN) pula menguasai 11 kerusi.

Manakala DUN pula PH (29), BN (27) dan Pas (3).-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast