IPOH – Bukan sesuatu yang mustahil untuk menewaskan calon yang mempunyai nama dan terkenal seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang akan berhadapan dengan kedua-dua mereka sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengakui beliau adalah calon underdog.
Bagaimanapun sebagai anak tempatan yang telah lama berkhidmat kepada masyarakat, bukan mustahil underdog sepertinya boleh menewaskan giant.
“Kita adalah underdog. Kita sedar itu, tapi dalam masa sama kawasan ini adalah di mana kami telah lama berkecimpung membantu masyarakat dalam urusan kemasyarakatan.
“Jadi sama ada nama yang hadir itu giant kalau kami menang kami giant killer.
“Lihat pada PRU14 banyak nama besar yang kecundang tapi tak mustahil ia berlaku di Tambun. Kita mempunyai semangat menewaskan mereka walaupun mereka mempunyai nama yang dikenali ramai,” kata Aminuddin.
Beliau ditemui selepas majlis pengumuman nama calon PRU15 yang dilakukan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata, dia meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat Tambun selepas tewas dalam PRU14.
“Kita yakin penduduk di Parlimen Tambun setelah BN tidak berada di persada kepimpinan boleh membezakan cara wakil rakyat BN mengendalikan masyarakat dan wakil rakyat yang dipilih pada 2018 mengendalikan masyarakat.
“Kita akan sambung semula apa yang tergendala. Banyak perkara yang pernah dirancang untuk dilaksanakan tetapi tergendala apabila kita tidak memiliki kerusi itu.
“Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah menyambung semula program-program yang telah dirancang untuk membangunkan masyarakat dalam Parlimen Tambun,” katanya.
Pada PRU14 Aminuddin bertanding di Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta yang terletak dalam Parlimen Tambun.
Beliau mendapat 14,053 undi dan tewas kepada calon Pakatan Harapan Muhamad Arafat yang mendapat 17,766 undi.
Sementara Ahmad Faizal adalah penyandang Parlimen Tambun dan mendapat 38,661 undi selepas bertanding atas tiket Pakatan Harapan.
Manakala Anwar pula berhijrah dari Parlimen Port Dickson.-MalaysiaGazette