GEORGE TOWN – Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang hari ini memperkenalkan 13 calon yang akan mewakili parti tersebut untuk berentap pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Daripada 13 individu itu, enam merupakan calon muka baru termasuk Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong.

Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, antara yang ditampilkan ialah calon tunggal wanita iaitu Naib Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Dr Mastura Mohamad yang akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas.

“Selain itu Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pula merupakan calon termuda yang dipertaruhkan bagi kerusi Parlimen Balik Pulau.

“Senarai nama yang diumumkan hari ini semuanya sama seperti dikeluarkan pada peringkat pusat dengan masing-masing sebanyak lima kerusi diagihkan kepada Bersatu dan Gerakan manakala Pas mendapat tiga kerusi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dominic berkata, PN tidak gentar untuk bersaing dalam gelanggang PRU15 walaupun Pulau Pinang diketahui merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

“Pulau Pinang dulu pernah menjadi kubu kuat Gerakan dan situasi itu tidak mustahil dapat diulangi semula.

“Sama ada kita boleh menang atau tidak bergantung kepada anak Pulau Pinang meskipun negeri ini kubu kuat PH namun kita akan bertungkus-lumus bagi menubuhkan kerajaan yang bersih dan stabil,” katanya. – MalaysiaGazette