Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Majlis Peluncuran Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menjelaskan pengguguran penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilakukan bagi mengelak masalah timbul pada masa akan datang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana Ketua Cabang Sungai Buloh itu kini berdepan masalah kesihatan yang mungkin memberi kesan kepada PH dalam mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.

Bagaimanapun, beliau menghargai pandangan pihak yang mahu Sivarasa bertanding di kawasan terbabit pada PRU15.

“Sivarasa itu peguam saya dan kawan baik saya dan telah berkhidmat tiga penggal dan keadaan kesihatan, kita tengok juga ada isu. Jadi apabila dia pergi dilihat dengan keuzuran beliau, itu akan mengesankan.

“Jadi saya sudah beri pertimbangan masalah itu dan kita boleh tonjolkan tokoh yang boleh mengalahkan Khairy Jamaluddin (calon Barisan Nasional),” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Majlis Peluncuran Buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2022.

Anwar berkata demikian kepada media selepas melancarkan buku tulisan beliau bertajuk ‘Membangun Negara Madani di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam sidang media pada hari ini mengakui beliau mencadangkan Sivarasa kekal mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.

Beliau berkata, jawatankuasa dalaman calon juga berpandangan sama seperti itu dan bukannya meletakkan calon pendatang baru, Datuk R. Ramanan yang sebelum ini bersama MIC.

Mengulas lanjut, Anwar mengalu-alukan Khairy Jamaluddin bertanding di Sungai Buloh namun perlu menjawab pelbagai persoalan terutamanya ketika memegang jawatan Menteri Kesihatan.

“Dia boleh (bertanding), tetapi kena jawab mengapa ubat vaksin tidak ada tender, mengapa kematian 36,000, mengapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama yang memudaratkan hidup rakyat dan menyeksa rakyat serta mengapa tidak ada ketelusan berpuluh tahun dalam kes-kes dikaitkan dengan penyelewengan dan rasuah, itu hal yang harus dijawab,” jelasnya. – MalaysiaGazette