anak kampung
Mohammad Shatar Sabran (tiga dari kiri) menyerahkan buku nukilannya kepada Noraini Ahmad (tiga dari kanan) sebagai simbolik pelancaran buku berkenaan pada Majlis Apresiasi Pendidikan Tinggi di Batu Pahat, malam tadi.

BATU PAHAT – Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian menjadi peribahasa sesuai menggambarkan intipati buku Anak Kampung Melakar Sejarah nukilan Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu berkata, pelbagai kisah menarik dimuatkan dalam buku setebal 254 halaman yang menceritakan perit jerih seorang anak kampung untuk berjaya dalam akademik.

Katanya, buku mengandungi 15 bab itu akan memberi keyakinan kepada pembaca bahawa kesulitan dan kesukaran yang dihadapi seseorang bukanlah alasan untuk mencapai kecemerlangan.

“Buku ini sesuai dibaca dan dimanfaatkan oleh semua golongan terutamanya golongan remaja serta pelajar berasal dari kampung atau luar bandar yang inginkan motivasi untuk berjaya dalam pelajaran.

“Percayalah, kesungguhan diri dan usaha yang istiqamah mampu membuahkan kecemerlangan dalam pendidikan yang seterusnya mampu mengubah landskap kehidupan diri dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas simbolik pelancaran buku berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada Majlis Apresiasi Pendidikan Tinggi di sini, malam tadi.

Pelancaran itu turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.

Hingga hari ini, buku yang sarat dengan inspirasi itu muncul sebagai buku terlaris pernah dihasilkan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press).

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, setiap pelajar perlu mempunyai strategi untuk mencapai kecemerlangan dan beliau juga mempunyai cara tersendiri yang dinamakan sebagai ‘Formula 5+5-5’.

“Formula ini saya susun dan amalkan sejak di bangku sekolah hingga kini yang memberi penekanan kepada lima perkara yang perlu menjadi amalan ditambah lima perkara yang menjadi budaya dan menyisihkan lima perkara yang perlu ditinggalkan.

“Tip ini semua saya ada muatkan dalam buku ini yang boleh dijadikan rujukan kepada pelajar untuk cemerlang dalam akademik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast