KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan Garis Panduan Penggunaan Fasiliti Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tujuan kempen pilihan raya umum kepada semua calon parti politik yang berhasrat menggunakan fasilitinya bagi tujuan
berkempen.
Garis Panduan ini disediakan sebagai rujukan berkaitan penggunaan dan penyewaan fasiliti DBKL kepada calon parti politik untuk tujuan kempen PRU secara amnya serta memudahcara proses permohonan dan kelulusan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, calon parti politik dikehendaki membuat tempahan bagi tujuan penggunaan dan penyewaan fasiliti DBKL iaitu padang-padang awam, dataran awam dan kawasan lapang perumahan awam yang sesuai dan berada di bawah seliaan DBKL bagi tujuan tempat berkempen PRU-15.
Calon parti politik dibenar menggunakan mana-mana fasiliti DBKL yang diluluskan pada had maksima tiga hari penggunaannya secara berturut – turut atau pada tiga tarikh yang berbeza-beza untuk satu-satu lokasi.
”Mana- mana calon parti politik yang berminat untuk menggunakan fasiliti DBKL boleh membuat permohonan mulai 1 November 2022 dengan mengemukakan permohonan rasmi secara bertulis kepada Pengarah, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP) DBKL. JPPP adalah Sekretariat kepada Jawatankuasa Pusat Setempat (One Stop Centre) Pilihan Raya Umum -15 di bawah pentadbiran DBKL,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya tiga hari bekerja sebelum tarikh penggunaan.
Ujarnya, fasiliti DBKL boleh mula digunakan pada 5 November 2022 dan berakhir pada jam 11.59 malam pada 18 November 2022. – MalaysiaGazette