Gambar Hiasan

JUBA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hampir lapan juta penduduk di Sudan Selatan, atau dua per tiga daripada populasi itu berdepan risiko kebuluran.

PBB dalam kenyataan memaklumkan, kelaparan dan kekurangan zat makanan semakin meningkat di seluruh kawasan banjir, kemarau, dan kawasan yang terjejas konflik di Sudan Selatan.

Perkara tersebut mengakibatkan beberapa komuniti mungkin menghadapi kebuluran jika bantuan kemanusiaan tidak dikekalkan dan langkah penyesuaian iklim tidak dipertingkatkan.

Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian, dana kanak-kanak PBB Unicef dan Program Makanan Dunia berkata, kadar penduduk mengalami tahap kekurangan zat makanan dan kebuluran pada tahap yang kritikal melepasi tahun 2013 dan 2016.

Seramai 7.76 juta orang mungkin menghadapi kekurangan makanan akut bermula April hingga Julai 2023 manakala 1.4 juta kanak-kanak akan kekurangan zat makanan.

Laporan itu menyalahkan gabungan konflik, keadaan makroekonomi yang lemah, peristiwa iklim yang melampau, dan kos makanan dan bahan api yang memuncak serta penurunan pembiayaan untuk program kemanusiaan.

Pemangku Pengarah Program Makanan Sedunia (WFP) Sudan Selatan, Makena Walker menerusi kenyataan berkata, pihaknya berada dalam keadaan berjaga bagi mencegah kebuluran sepanjang tahun, tetapi masih tidak mencukupi.

“Sudan Selatan berada di kemuncak krisis iklim dan hari demi hari, keluarga kehilangan rumah, lembu, ladang kerana berhadapan dengan cuaca yang melampau,”

“Tanpa bantuan makanan kemanusiaan, berjuta-juta lagi akan mendapati diri mereka berada dalam keadaan yang semakin teruk dan tidak dapat menyediakan makanan paling asas untuk keluarga mereka,” kata Walker.

Sebagai salah sebuah negara termiskin dunia, Sudan Selatan telah menghabiskan separuh hayat penduduknya berdepan dengan perang yang berlarutan dengan hampir 400,000 orang terkorban selama lima tahun dan berakhir pada 2018.

Negara termuda di dunia itu bergelut dengan konflik maut, bencana alam, kecelaruan ekonomi dan perbalahan politik yang tidak henti-henti sejak mengecapi kemerdekaan pada 2011.

Pada 2017, kebuluran diisytiharkan di daerah Leer dan Mayendit, Negara Perpaduan iaitu kawasan yang sering menjadi titik tolak keganasan.

Menurut laporan bulan lalu, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan kira-kira 909,000 orang dilaporkan terjejas akibat banjir di Sudan Selatan yang memusnahkan tanaman dan rumah. -Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast