KUALA LUMPUR – Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa memainkan peranan utama dalam menggerakkan kerajaan serantau untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengikat bagi menghentikan keganasan Israel terhadap Palestin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia susulan tindakan Israel yang terus melancarkan serangan ketenteraan terhadap Gaza selain menarik diri daripada perjanjian gencatan senjata fasa dua.

Dalam masa sama, tekanan antarabangsa ke atas Israel juga perlu dikenakan segera selepas ragim Zionis itu menjadikan bantuan kemanusiaan dunia kepada Palestin sebagai senjata terhadap penduduk awam.
“Keputusan untuk menyekat kemasukan bantuan merupakan satu bentuk hukuman kolektif dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Situasi di Gaza kini berada di ambang bencana, dengan lebih daripada 2.4 juta penduduk terdedah kepada kelaparan, kehilangan tempat tinggal, dan krisis kesihatan akibat sekatan yang disengajakan oleh Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azmi, sekatan terhadap makanan, bekalan perubatan, bahan api dan tempat perlindungan oleh Israel terhadap Palestin merupakan tindakan perang terhadap orang awam.
Sehubungan itu, pihaknya menuntut pembukaan segera lintasan sempadan bagi membolehkan organisasi kemanusiaan menghantar bantuan yang sangat diperlukan.
“Dengan seramai 289,824 kanak-kanak dan 139,764 warga emas terancam kebuluran, MAPIM menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk memulakan siasatan jenayah perang terhadap pemimpin Israel yang bertanggungjawab atas sekatan kejam ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk memperhebatkan boikot ke atas barangan Israel serta mengenakan tekanan diplomatic dan tindakan undang-undang terhadap syarikat yang bersekongkol dengan dasar aparteid Israel.
“MAPIM berdiri teguh bersama rakyat Gaza dan akan terus menggerakkan sumber, usaha diplomatik, serta kempen kesedaran awam untuk menghentikan kezaliman Israel.
“Masyarakat antarabangsa mesti bertindak sekarang sebelum satu lagi pembunuhan beramai-ramai berlaku di depan mata dunia,” katanya. – MalaysiaGazette