Calon Barisan Nasional P.098 Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Gombak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Batu Caves, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2022.

GOMBAK – Walaupun calon Barisan Nasional bagi i Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu namun janji-janji dalam manifesto tetap ditunaikan.

Perkara itu diakui oleh pengundi kawasan tersebut, kata Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang kini kini bertanding mewakili Parlimen Gombak.

“Saya terserempak dengan seorang anak muda dari pinggiran Batu Cave. Dia jumpa saya dan beritahu ini kali pertama dia akan mengundi. Katanya, dia akan undi saya sebab saya tunai janji pada manifesto PRU14.

“PRU14 yang lalu saya janji mahu mengecat 28 blok (pangsapuri) di Batu Cave. Walaupun kalah, dia terharu sebab saya tunaikan janji walau keterbatasan kuasa,” katanya pada ucapan perasmian jentera di sini malam tadi.

Jelas Megat, pengundi di Gombak sudah tentu bijak untuk menilai yang mana intan, yang mana permata dalam memilih pemimpin kawasan mereka.

“Ahli Parlimen sebelum ini (Azmin Ali) sudah pernah jadi Menteri Besar. Kini, datang seorang lagi (Amirudin Shari) nak bertanding di Gombak, ini pun Menteri Besar tapi lihatlah apa yang telah mereka beri, tiada hasil,” ulasnya.

Berbekalkan semangat sebagai anak kepada pendekar negara, Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju, Megat sentiasa bersedia melawan ketiga-tiga nama besar yang menjadi seterunya dalam PRU15.

“Ini kerusi yang penting dan bukan mudah untuk bertanding di Gombak, tapi ia tidak mustahil untuk kita menang sekiranya kita ada kesungguhan,” ujarnya sambil disorak ratusan jentera BN yang hadir.

Katanya, selepas kegagalan Barisan Nasional menawan semula Gombak, pengundi di P.098 itu wajar memberi peluang sekali lagi untuk BN membuktikan khidmat terbaik.

Pertarungan Parlimen Gombak antara yang menjadi tumpuan dalam PRU15 dengan penyandang terdahulu adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempertahankan kerusi itu sejak 2008 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast