SUNGAI BULOH – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan rakyat di negara ini bahawa Malaysia masih berada dalam fasa peralihan endemik.
Sehubungan itu, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan perlu diikuti bagi mengawal penularan Covid-19.
“Bila kes jangkitan meningkat, ia secara tidak langsung akan menular kepada warga emas atau mereka yang mempunyai penyakit kronik.
”Mereka ini akan mengalami gejala yang teruk berbanding orang muda yang tiada masalah kesihatan,” katanya selepas menghadiri Program Penerangan Covid-19@Perhebat di Dewan Syarahan Kompleks Perhebat, Paya Jaras.
Khairy terpanggil untuk memberi peringatan itu susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Semalam, negara merekodkan sebanyak 4,711 kes jangkitan harian.
“Disebabkan kita sudah berbulan bulan berada dalam keadaan terkawal dan kembali ke kehidupan normal maka saya terpanggil untuk mengingatkan yang kita kini masih dalam fasa peralihan.
“Walaupun sudah vaksin untuk melindungi daripada gejala serius namun jangkitan masih ada,” tambahnya.
Beliau turut menasihatkan semua calon Pilihan Raya Umum Ke-15 dan pengundi supaya membuat ujian saringan sekiranya mengalami gejala.
“Kalau batuk berterusan, sakit tekak dan demam pertama kali buatlah ujian,” katanya lagi.- MalaysiaGazette