Isham Jalil

SHAH ALAM – Isham Jalil menyifatkan pemilihannya oleh pucuk pimpinan parti bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam yang terkenal antara kubu kuat Pakatan Harapan (PH) sebagai cabaran besar baginya.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau menerima keputusan parti itu dan akan berjuang sampai beroleh kemenangan.

“Saya tahu Shah Alam ini kubu kuat PH. Namun, saya diberi tanggungjawan untuk menawan kubu kuat PH ini, saya ambil cabaran ini dan akan berjuang sampai menangn.

“Pada saya, kita tidak boleh bertanding di tempat yang kita rasa selesa sahaja. Kita kena pergi menawan kubu kuat parti lawan,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di Dewan Teratai MBSA di sini, hari ini.

Dalam PRU15 pada 19 November ini beliau akan bertemu dengan calon lawan iaitu Dr. Afif Bahardin dari Perikatan Nasional (PN), Azli Yusof dari Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Rafique Rashid Ali dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, mulai hari ini beliau akan turun bertemu masyarakat Shah Alam bagi menyatakan visi dan misi parti sekiranya berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

Katanya, sepanjang berada di Shah Alam, beliau sudah kenal pasti beberapa kampung yang mempunyai ramai golongan B40 untuk mendengar isu berbangkit dan cuba menyelesaikannya.

“Bukan sahaja masalah ekonomi yang mencengkam mereka, masalah jalan berlopak, masalah air dan banyak lagi diadukan.

“Fokus saya ialah mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat Shah Alam ini, bukan nak cari siapa yang bersalah.

“Kempen saya juga kempen positif. Saya nak beritahu rakyat apa kita nak buat, bukan kita nak kempen skandal atau menuduh orang lain,” ujarnya.

Namun, kata Isham, jika pihak lawan membuat pelbagai tuduhan ke atasnya, beliau akan menjawabnya.

Ditanya mengenai semua empat calon termasuk beliau adalah muka baharu bagi kerusi itu, katanya, inilah peluangnya untuk memperjuangkan isu berkaitan orang muda.

Kata beliau, selepas pandemik Covid-19, ramai anak muda tidak ada kerja dengan kadar bagi golongan itu mencapai 14 peratus.

“Sebelum pandemik Covid-19m sekitar 300,000 hingga 400,000 yang tidak ada kerja, sekarang sudah mencecah lebih 700,000 orang. Sebabnya, banyak kedai tutup selepas diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Untuk selesaikan masalah ini, kita kena tolong PKS, cari kerja kepada mereka supaya mereka dapat ambil anak muda bekerja dengannya,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau juga akan perjuangkan isu perumahan dan kecekapan pentadbiran kerajaan agar tidak berlaku gejala rasuah. – MalaysiaGazette