mohamad rembau
Calon Barisan Nasional P.131 Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah), calon Pakatan Harapan, Jufitri Joha (kiri), calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Tinagaran (dua kiri), calon Perikatan Nasional, Mohd. Nazree Mohd. Yunus (dua kanan) dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ramly Awalludin (kanan) bergambar kenangan selepas menyerahkan borang pencalonan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 bagi P.131 Rembau di Dewan Seri Rembau, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 05 NOVEMBER 2022.

REMBAU – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berdepan saingan lima penjuru bagi mempertahankan penguasaan gabungan parti itu di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha; calon Perikatan Nasional (PN), Nazree Yunus; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ramly Awaluddin dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran.

Pencalonan kelima-lima calon tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohamad Najib Mustafa di Pusar Penamaan Calon PRU-15 Parlimen Rembau di Dewan Seri Rembau di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Najib menerima borang pencalonan mereka semasa proses penamaan calon dijalankan mulai pukul 9 pagi hingga 10 pagi.

Proses penamaan calon berjalan lancar dan suasana di lokasi penyokong semua parti berkumpul adalah tenang serta terkawal.

Mohamad, 66, merupakan Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.

Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Tok Mat pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan mulai Mac 2004 hingga Mei 2018.

Jufitri, 43, pula merupakan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Belia Negara dan Tokoh Belia ASEAN pada 2014.

Sementara itu, Nazree, 38, merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan serta Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Rembau.

Sebelum menyertai Bersatu, beliau pernah menjadi Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum dipecat pada April 2020.

Nazree pernah bertanding di kerusi Parlimen Kuala Pilah pada PRU13, tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Seri Hasan Malek.

Tinagaran, 45, ialah Setiausaha PSM Negeri Sembilan dan bekerja sebagai guru tuisyen.

Lebih mesra dengan panggilan Cikgu Tina, beliau giat memperjuangkan isu kebajikan pekerja di peringkat negeri dan kebangsaan.

Dalam pada itu, Ramly merupakan pemimpin Pejuang yang telah lama berkecimpung dalam kegiatan politik akar umbi.

Pada PRU-14, calon BN, Khairy Jamaluddin menang di kerusi Parlimen Rembau setelah meraih 36,096 undi.

Beliau mengatasi calon PKR, Roseli Abdul Gani dengan majoriti 4,364 undi manakala calon Pas, Mustafa hilang deposit.

Setakat 9 Ogos lalu, Parlimen Rembau mencatatkan seramai 133,555 pengundi, peningkatan ketara berbanding 88,365 pengundi pada PRU-15.

Kawasan Parlimen ini juga mempunyai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rantau, Kota dan Chembong yang dikuasai BN manakala Paroi di bawah PH. – MalaysiaGazette