MUAR – Calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Abdullah Husin yakin parti itu mempunyai peluang cerah untuk menang di Parlimen Muar dalam pilihan raya kali ini walaupun mereka pernah hilang wang deposit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pesuruhjaya Pas Johor itu memberitahu, situasi politik pada PRU kali ini berbeza kerana tsunami politik kepada Pakatan Harapan (PH) tidak berlaku.
“(Tahun) 2018 (calon Pas waktu itu kalah di Muar) barangkali disebabkan berlaku tsunami politik pada waktu itu dan ia tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kerana dari 2018 hingga 2022 ini banyak perubahan berlaku.
“Kira buat culaan, maknanya rakyat sudah boleh terima Pas dan PN di Muar ditambah pula kita menekankan soal integriti, telus dan stabil” katanya kepada pemberita selepas melakukan walkabout di pasar malam Parit Jawa, di sini hari ini.
Katanya, rakyat sudah boleh melihat bagaimana Pas mentadbir Kelantan lebih 30 tahun dengan tiada seorang menteri besar dan exco dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
“Itu rekod baik yang Pas tunjukkan, rakyat boleh lihat ketelusan kita, integriti kita dan bebas rasuah. Barangkali kita di Muar boleh tekankan soal itu,” ujarnya.
Ditanya cabaran berdepan calon dua orang muda dari BN dan Muda di Muar, Abdullah mengakui berlaku persaingan dan ia bukan halangan untuk beliau menang memandangkan pengalaman yang dmilikinya sebelum ini apabila sering berdamping kumpulan muda sebagai warga pendidik.
“Orang muda cerdas itu kelebihan orang muda tapi orang lama ada kelebihan juga. Orang lama ini kelebihan dia dari sudut kebapaan dan saya bekas guru sekolah, bakas pengetua, di sana ada pengalaman sebagai pendidik kepada orang muda.
“Dua calon muda tak beri halangan, masing-masing ada kelebihan, saya tak pertikai calon mana-mana, tapi sifat kebapaan ini merupakan tempat orang muda bernaung dan pengalaman sebagai guru saya akan guna kelebihan itu untuk menarik pengundi muda,tak ada masalah,” katanya.
Abdullah menjadi pencabar kepada penyadang kerusi Parlimen itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Kerusi parlimen itu turut direbut calon BN, Mohd Helmy Abd Latif dalam pertandingan tiga penjuru.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Saddiq yang bertanding menggunakan logo PKR merampas kerusi Parlimen Muar selepas menewaskan penyandangnya dari Barisan Nasional, Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pas, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi. – MalaysiaGazette