Keadaan jalan yang berlopak selain tidak diturap mengundang risiko kemalangan serta kerosakan kenderaan terhadap pengguna di Bayan Baru, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Rata-rata penduduk sekitar Bayan Baru mendakwa kesesakan lalu lintas menghantui mereka hampir 10 tahun namun tiada sebarang jalan penyelesaian dibuat sehingga kini.

Selain itu, ada yang mengetengahkan isu jalan berlopak di beberapa kawasan khususnya Bukit Gedung hingga mengakibatkan berlaku kemalangan serta kerosakan pada kenderaan.

Menurut Mohd Iswan Nordin, 34, dia terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas setiap kali menghantar dan mengambil anaknya pulang dari Sekolah Kebangsaan Seri Permai di sini.

Mohd Iswan.

Jelas bapa kepada tiga anak itu, hanya satu pintu sekolah dibuka berhampiran Jalan Tengah turut menjadi punca berlaku kesesakan di laluan tersebut.

“Jalan itu laluan utama buat penduduk dari Relau, Sungai Ara serta Bayan Baru untuk ke tempat kerja serta sekolah tetapi tiada jalan penyelesaian dibuat.

“Patut mereka bersihkan semak di bahagian belakang sekolah dan buka pintu itu sebagai laluan alternatif untuk ibu bapa hantar anak, sekali gus ia lebih selamat kerana bukan berhampiran jalan utama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Turut meluahkan pandangan sama, G.Arjunan, 55, berkata, dia pernah berdepan situasi terperangkap dalam kesesakan hampir satu jam untuk ke tempat kerja.

Arjunan.

“Isu kesesakan ini bukan sesuatu yang baru buat penduduk Bayan Baru namun tiada tindakan diambil meskipun pelbagai aduan mengenainya dibuat.

“Keadaan itu lebih teruk apabila cuaca hujan atau tiada polis trafik melakukan kawalan lalu lintas pada waktu puncak.

“Lebih memeritkan apabila saya dan anak terpaksa siap awal untuk memastikan perjalanan kami tempat kerja dan sekolah tepat pada waktu. Jadi kami harap wakil rakyat yang akan dipilih nanti selesaikan isu ini walaupun bukan sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, situasi itu berbeza bagi pesara kerajaan, Jamaluddin Mydin Pakir, 63, apabila penempatannya di Bukit Gedung dihantui dengan jalan berlopak.

Jamaluddin.

“Saya menetap di sini sejak 1988, namun sejak dua tahun lalu kami dihantui dengan keadaan jalan berlopak. Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Ahli Parlimen turut dipanggil untuk melihat serta menyelesaikan keadaan itu.

“Memang mereka datang tetapi sekadar lihat dan beri janji akan menyelesaikannya. Kini sudah dua tahun berlarutan tiada sebarang tindakan dibuat.

“Bukan saja kami berdepan risiko kemalangan malah kenderaan yang naiki turut rosak akibat jalan berlopak itu,” katanya yang kini mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast