Gambar hiasan

SEREMBAN – “Sudah kering terjemur pula, sudah garing kena ramas pula,”.

Itu perumpamaan untuk menggambarkan nasib penduduk Rasah di sini yang terpaksa berdepan masalah banjir sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun.

Perkara itu dikongsikan anak jati Kampung Singh di Rasah, Yong Rou Er yang mengakui tidak dapat melelapkan mata apabila hari mula hujan.

“Memang banjir tiga kali setahun, Kampung Singh antara yang kerap terjejas dan di situlah saya tinggal. Sudah banyak tahun masalah banjir ini tapi masih tiada penyelesaian,” kata wanita berusia 25 tahun itu yang juga seorang peguam.

Yong Rou Er

Berkongsi pengalaman kerjayanya itu, beliau memberitahu, wakil penduduk Kampung Singh telah mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi pampasan atas kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah tersebut.

“Sebagai peguam, saya juga ada terlibat uruskan kes tuntutan ganti rugi akibat banjir ini dan sekarang kes sudah di peringkat Mahkamah Persekutuan, menariknya yang bantu secara pro bono bagi kes ini ialah Ng Kian Nam (calon MCA Rasah),” ulasnya.

Seorang penduduk warga emas, Maria Cheng pula berasa sangsi terhadap peranan ahli Parlimen terdahulu di bawah Parti Tindakan Demokratik (DAP), Cha Kee Chin yang dilihat seperti hilang daripada radar.

Maria Cheng

“Ahli Parlimen sebelum ini, saya tak tahu apa yang dia sudah buat, apa yang dapat saya katakan masalah ini masih tetap berlaku dan akhirnya penduduk di situ datang kepada Ng Kian minta tolong bantu,” ujar wanita berusia 67 tahun itu.

Rentetan itu, Maria menasihatkan kepada pengundi jika menampi jangan tumpah padinya iaitu rakyat jangan salah ‘membuang’ pemimpin yang baik ketika melaksanakan tanggungjawab pada 19 November ini.

“Nasihat saya kepada para pengundi nanti, ambil pengajaran dengan apa yang berlaku dalam politik negara sebelum ini. Salah pilih boleh buat negara tak stabil, bayangkan ia membawa kepada tiga Perdana Menteri dalam satu penggal. Sungguh menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Seorang lagi warga emas, Teh Kim Lan, 70, yang telah menetap di Rasah hampir tiga dekad berkata, masalah pengangkutan awam jarang mendapat perhatian dalam kalangan wakil rakyat bagi kawasan P130 itu.

Teh Kim Lan

“Tak kiralah siapa calon sekali pun, memang kurang ambil berat kebajikan warga emas seperti kami. Apa yang saya harap dari dulu adalah pengangkutan awam yang lebih baik. Nak ke bandar beli barang sangat susah, mesti kena ada kereta,” luahnya dalam keadaan sebak.

Keluhan warga emas yang mesra disapa Auntie Kim Kim itu turut senada dengan pendapat anak muda, Tham Joe Ping yang kerap singgah di sini atas urusan kerja.

Tham Joe Ping

“Apa yang perlu diperbaharui adalah perancangan bandar seperti rangkaian pengangkutan yang baik. Bayangkan, jika jaringan pengangkutan itu dapat hubungkan kepada semua kampung, pasti mudahkan ramai orang dan kawasan ini lebih maju,” ujarnya.

Parlimen Rasah didominasi DAP dengan kemenangan besar yang mencatatkan majoriti 46,867 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Kali terakhir Barisan Nasional menawarkan khidmat buat penduduk Rasah adalah pada PRU11 yang mempertaruh calon MCA, Datuk Goh Siow Huat dengan majoriti 4,563 undi. – MalaysiaGazette