Onn Hafiz Ghazi hadir di majlis Majlis Pelancaran Tabung Pembinaan dan Pecah Tanah Masjid An-Nur Bandar Tiram, di Ulu Tiram, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui Barisan Nasional (BN)  perlu bekerja lebih keras berbanding pencabar mereka dalam menyantuni pengundi di seluruh Johor untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, BN tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru – baru ini.

Malah, semua calon tidak boleh leka sebaliknya harus dengan lebih kerap turun ke padang berjumpa masyarakat.

“BN Johor melihat semua sebagai pencabar yang sama rata, dan kita tidak boleh memandang rendah mana-mana parti, sebaliknya kami menganggap BN sebagai ‘underdog’.

“Kita perlu ingat, PRN kita menang besar tetapi pada 2018 lalu kami yang kalah, jadi dalam PRU15 ini BN Johor perlu bekerja lebih keras dalam memastikan rakyat Johor kembali memberikan mandat kepada kami untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Pembinaan dan Pecah Tanah Masjid An-Nur Bandar Tiram, di Ulu Tiram, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd. Khalid; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Mufti Johor, Yahya Ahmad.

Sementara itu, Onn Hafiz yang juga merupakan Menteri Besar Johor turut mengingatkan rakyat khususnya penyokong-penyokong parti politik untuk menjalankan kempen secara berhemah.

“Bagi saya, kita kena berkempen secara sihat, ini kerana pada waktu ini banyak fitnah yang berleluasa, jadi kita minta semua parti diluar sana untuk kurangkan kempen fitnah.

“Budaya itu tidak sihat bukan sahaja untuk Johor, tetapi juga untuk negara ini secara keseluruhannya. Ini kerana walaupun kita bertanding atas tiket demokrasi, tetapi haruslah mengekalkan adab dan jangan amalkan budaya fitnah,” jelasnya.-MalaysiaGazette