KUALA LUMPUR – “Lebih 20 tahun tinggal di Cheras, tapi sampai hari ini masih tiada beza,”.
Itu keluhan warga emas, Mah Thong yang melihat kurang pembangunan disediakan untuk kemudahan awam sepanjang lebih dua dekad menetap di kawasan berkenaan.
Malah, bekas tukang masak berusia 73 tahun itu memberitahu, masalah setempat juga gagal diselesaikan seperti isu kekurangan tempat letak kereta di sekitar Pasar Taman Cheras yang masih tiada penyelesaian.
“Boleh tengok kereta kena parkir berlapis-lapis sampai jalan sesak. Kalau bawa kereta ke pasar ini memang kena ronda berkali-kali cari parking yang susah nak dapat. Bukan setakat double park, triple park pun ada,” ujarnya.
Enam penggal Parlimen Cheras diterajui Tan Kok Wai sejak 1995 menjadikan Mah Thong antara ‘orang lama’ yang dapat menilai perkhidmatan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu.
Rentetan itu, peniaga peralatan sembahyang Buddha, Chai Yeow Heong berharap, ada perubahan yang dapat disaksikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menantikan calon muka baharu mengemudi kawasan P.123 itu.
“Kalau ada pilihan baru, marilah saya nantikan. Perubahan yang saya mahu tengok adalah antara Mike Chong (calon Barisan Nasional-MCA) dan beberapa calon lain, saya tak tahu prestasi mereka jadi saya tunggu dan lihat,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.
Pesara syarikat swasta, Jackie Chan pula berharap calon pada PRU15 kali ini tidak gelegar buluh seperti paku sebatang, kuat bunyi tukulnya bertalu-talu.
“Pilih pemimpin yang telus dan boleh tolong rakyat, jangan hanya tahu berjanji tapi tak tunai, itu sama macam tin kosong yang tak berguna,” katanya.
Lelaki berusia 60 tahun itu turut melahirkan pengharapan agar bakal ahli Parlimen yang diberi mandat nanti lebih prihatin terhadap nasib rakyat.
Pekerja swasta yang baru berpindah ke Cheras tiga bulan lalu, Chloe Yong Chee Ying, 25, berasa terkejut apabila memandu di kawasan berkenaan kerana struktur jalan yang tidak diselenggara dengan baik.
“Saya sangat terkejut bila memandu dekat sini sebab memang banyak lubang dekat kawasan ini. Saya harap pihak berkenaan boleh baiki apa patut,” katanya.
Anak muda berusia 23 tahun yang akan mengundi buat kali pertama, Chai Yoong Hong berkongsi rasa bahawa dia tiada perasaan yang teruja untuk keluar melaksanakan tanggungjawab itu kerana hasilnya sama seperti pasca PRU14 yang lalu.
“Entahlah, saya tak rasa apa pun untuk first time keluar mengundi nanti. Hasilnya sama, ekonomi tak baik pun, tiada beza dulu dan kini,” ulasnya. – MalaysiaGazette