Isam Tampin
Mohd Isam Mohd Isa (empat dari kiri) menunjukkan isyarat jari 'nombor 1' selepas menyempurnakan gimik pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Gerak Gempur Pemuda BN Parlimen Tampin di Dataran Kasturi, Gemencheh, hari ini.

TAMPIN – Pengundi di kerusi Parlimen Tampin sudah serik dengan kesilapan memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ekoran kegagalan gabungan politik tersebut menunaikan janji-janji yang ditaburkan sebelum mereka berkuasa.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa percaya situasi itu menyebabkan penduduk di sini mahu perubahan berlaku pada PRU15.

“Memang harapan masyarakat di Tampin agar ada perubahan selepas PRU14 dengan beberapa agenda yang PH janjikan tetapi akhirnya apa yang dijanjikan tidak dapat direalisasikan.

“Kini masyarakat mula kembali kepada BN dan kita juga dapat lihat ahli-ahli UMNO yang dulu menyokong parti lain hari ini mereka telah kembali kepada UMNO dan menyokong BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya dan Gerak Gempur Pemuda BN Parlimen Tampin di Dataran Kasturi, Gemencheh dekat sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh itu optimis untuk merampas kembali kerusi Parlimen Tampin setelah tewas pada PRU14 dengan majoriti tipis 1,002 undi.

Mohd. Isam memberitahu, situasi kini adalah amat berbeza jika dibandingkan dengan PRU-14 di mana isu-isu nasional menjadi antara faktor yang menyebabkan kekalahan BN.

Beliau berdepan pertembungan empat penjuru dengan calon PH, Faiz Fadzil serta Abdul Halim Abu Bakar dari Perikatan Nasional (PN) dan Zamani Ibrahim dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada PRU14, calon PH, Datuk Dr. Hasan Baharom memenangi kerusi Parlimen Tampin setelah menewaskan penyandang dari BN, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast