Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Saudara Pengarang
Proses penamaan calon untuk pilihan raya umum ke-15 sudah tamat. Sekarang, calon-calon sudah sibuk meraih undi dengan harapan mendapat gelaran “Yang Berhormat” selepas 19 November nanti.
Inilah masanya pengundi akan dilayan seperti raja, walaupun hanya untuk tempoh dua minggu sahaja. Kuasa sekarang di tangan kita untuk memilih pemimpin yang akan menerajui negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Persoalannya, patutkah kita membuang undi berdasarkan parti atau  individu? Di Malaysia, sejak sekian lama, pengundi lebih cenderung memangkah di kertas undi berdasarkan parti, bukan individu.

Fenomena ini bukan unik di Malaysia. Tetapi sudah tiba masanya pengundi Malaysia memberi lebih pertimbangan ke atas individu dan bukannya menyokong parti secara membuta tuli.

Pertembungan di kerusi Parlimen Sungai Buloh boleh dijadikan satu contoh. UMNO telah meletakkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk merampas kubu kuat pembangkang itu.

Satu naratif yang dimainkan oleh Pakatan Harapan di media sosial ialah Khairy, atau KJ, perlu ditolak kerana mengundi beliau bermaksud membuang undi untuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi tuduhan rasuah.

Kononnya kemenangan BN di sana juga boleh menjamin pembebasan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah dan salah guna kuasa.

Ini hujah “undi untuk parti, bukan individu” dan mempunyai banyak cacat cela. Pertama sekali, menafikan peluang kepada KJ bermakna menafikan rakyat Malaysia seorang tokoh yang berkebolehan.

Sejak menyandang Menteri di Kementerian Belia dan Sukan di mana Temasya Sukan SEA KL 2017 dianjurkan di bawah telunjuk beliau, hinggalah pelancaran Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kesihatan utama, KJ telah terbukti sebagai menteri yang cekap.

Jika kita menafikan peluang seorang pemimpin yang berkaliber seperti KJ untuk berkhidmat untuk rakyat Malaysia atas dasar fahaman politik, rakyat yang akan rugi.

Bukankah tujuan demokrasi untuk membolehkan rakyat memilih pemimpin yang terbaik dan membela nasib mereka ?

Sungai Buloh hanyalah contoh mengapa pengundi perlu memilih calon dan bukan parti. Hujah yang sama terpakai untuk setiap pertandingan dalam PRU akan datang, bukan hanya di Sungai Buloh.

Dalam setiap parti, ada pemimpin yang baik serta berkaliber, dan ada kambing hitam. Sebagai pengundi, tugas kita ialah ambil yang jernih dan buang yang keruh dan memilih secara lebih strategik demi manfaat rakyat.

Lokman Karim
Titiwangsa, Kuala Lumpur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast