KOTA TINGGI – Meskipun berbeza parti namun ketiga-tiga calon Parlimen Kota Tinggi berikrar untuk menangani isu Felda demi menjamin kesejahteraan dan kualiti masyarakat di kawasan itu.
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin komited untuk menjadikan Felda sebagai Lembah Makanan Negara, sekali gus untuk memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan generasi baharu Felda.
Menurutnya, Felda mempunyai potensi besar untuk dijadikan pemain utama dalam pengeluaran makanan negara.
“Dalam konteks ini Felda sudah pun ada program pembangunan peneroka, yang mana sebanyak RM250 juta telah diluluskan untuk kegiatan ekonomi.
Program ini semua memenuhi keperluan dan jaminan keselamatan makanan negara.
”Misalnya di Felda Air Tawar 2 ada arnab dan talapia, jadi ini antara potensi yang boleh memberi ruang kepada generasi generasi kedua Felda untuk meneroka peluang.
“Begitu juga dengan program tanah terbiar dan industri kecil dan sederhana Felda. Sudah sampai masanya kita bongkar potensi Felda,” katanya.
Khaled berkata, meskipun beberapa isu lain Felda perlu ditangani seperti isu rumah tetapi peningkatan ekonomi lebih utama.
“Kalau asyik fikir isu rumah tetapi tiada pendapatan tidak bermakna. Jadi semuanya perlu diselaraskan.
“Kalau BN jadi kerajaan, program ini pasti akan diteruskan tetapi kalau Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang memimpin saya takut semua ini akan hentikan semua,” tambah beliau.
Menurut calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Ridhwan Rasman, pelbagai isu berbangkit berkaitan Felda sejak berpuluh tahun sukar diselesaikan
kerana kebanyakan jawatan yang berada di dalam organisasi bukan merupakan anak tempatan.
Oleh itu, beliau berkata, sudah sampai masanya golongan bijak pandai negara yang merupakan anak-anak Felda diberi tanggungjawab untuk menambah baik Felda.
“Saya percaya ramai anak-anak Felda ada dalam kalangan profesional – ada jadi profesor, ahli korporat yang mahu menyumbang pemikiran dan tenaga mereka kepada Felda, beri mereka peluang.
“Bagilah peluang kepada kami anak Felda membuat jasa kepada penduduk-penduduk Felda kerana hanya yang faham masalah di kawasan ini,” katanya.
Pandangan itu turut dikongsikan oleh calon Pakatan Harapan (PH), Onn Jaafar yang turut mahu generasi baharu perlu diberi peluang mencurah bakti kepada Felda.
Beliau berkata, sekiranya dipilih, isu pengubahan akta sedia ada akan diperjuangkannya termasuk isu hak milik kepada generasi baharu.
“Ini antara perkara perkara yang akan saya tumpu dan selesaikan kerana generasi Felda sudah sampai ke peringkat ketiga.- MalaysiaGazette