Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sedia meminda Perlembagaan Persekutuan dalam isu hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu akan dibuat kerana BN tidak mahu anak-anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur dinafikan hak menjadi warga negara ini hanya kerana memiliki bapa warga asing.

“Kita lakukan ini atas kesedaran bahawa patriotisme dan nilai sayangkan negara itu hadir dari kerencaman dan keterangkuman,”

“Kita tak mahu lagi anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur atau mereka yang berbeza identiti bangsa dan agama dinafikan hak untuk menjadikan Malaysia sebagai tanah air tercinta,” katanya ketika mengumumkan manifesto BN yang diadakan secara maya, di sini, malam ini.

Pendirian Ahmad Zahid itu ternyata mempunyai perbezaan dengan keputusan kerajaan terdahulu yang menafikan kerakyatan bagi golongan tersebut.

Selain itu, BN juga memaklumkan isu gangguan seksual, ketidaksamaan gaji, imbuhan dan layanan atas perbezaan jantina akan dihapuskan serta-merta.

Jelas Zahid, perkara itu akan diteliti dengan kesesuaian seperti penubuhan Tribunal Kesaksamaan Gender dan Tribunal Anti Gangguan Seksual.

Rentetan itu, beliau memberitahu, BN akan mencadangkan penawaran insentif cukai kepada syarikat yang mempunyai kemajmukan di peringkat pengurusan. – MalaysiaGazette