KUALA LUMPUR – Air sisa kumbahan mungkin dilihat sebagai bahan buangan, namun bagi syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, ia sentiasa cuba memanfaatkan teknologi hijau dan proses inovasi bagi menukarkan bahan buangan menjadi sumber ekonomi yang baharu.
Menyedari akan potensi aktiviti ekonomi kitaran atau circular economy ke arah alam sekitar yang lebih mampan, IWK telah mempertingkatkan usaha perniagaan bukan terasnya menerusi penggunaan semula produk sampingannya iaitu bioefluen, biopepejal dan biogas.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam di satu majlis perjanjian kerjasama penghasilan etanol dan biogas baru-baru ini berkata, IWK mencatatkan kira-kira 2.97 bilion meter padu setahun air buangan sisa kumbahan dirawat dan dilepaskan ke sungai, sementara enap cemar yang terhasil akan dibuang di tapak pelupusan.
“Sejak 2015, IWK telah mempelopori pelbagai usaha teknologi hijau dalam menuju ke arah penggunaan semula biproduk air kumbahan sebagai sumber air dan tenaga baharu.
“Melalui Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Konsesi Perkhidmatan Pembetungan yang diberikan Kerajaan kepada IWK, membolehkan syarikat menjalankan beberapa usaha penting dalam mempelopori potensi perniagaan bukan tarif (“non-tariff”) seperti penghasilan air pulih guna daripada efluen terawat serta penghasilan tenaga diperbaharui dan baja untuk bukan tanaman bukan makanan daripada biopepejal,” jelas Narendran.
Terbaharu, IWK telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan sebuah syarikat tempatan, Menum Industries Sdn Bhd untuk merintis inisiatif kitar semula biopepejal bagi pengeluaran Black Soldier Fly Larvae (BSFL). Melalui kerjasama ini, IWK berusaha untuk menggunakan semula biopepejal yang dirawat sebagai makanan kepada larva lalat ini bagi menghasilkan protein penuh lemak dan mengurangkan pelupusan biopepejal ke tapak pelupusan.
Loji Rawatan Kumbahan Serantau (LRKS) IWK di Lembah Klang menjana kira-kira 200 tan biopepejal sehari yang kini dibuang ke tapak pelupusan. Selaras dengan aspirasi IWK ke arah ekonomi kitaran, syarikat itu memulakan perkongsian ini dengan harapan untuk menguruskan biopepejal yang dihasilkan secara mampan.
“Perkongsian IWK dengan Menum Industries pastinya akan membuka lebih banyak peluang bagi kami terus mencari langkah inovatif untuk memastikan proses dan produk sampingan hiliran kami diuruskan dengan cara yang mampan. Penggunaan semula biopepejal untuk menghasilkan sumber nutrien yang berharga dan mampan pastinya menjadi peneraju dalam usaha kami mengukuhkan inisiatif hijau kami”, kata Narendra.
Inisiatif ini juga adalah selaras dengan sasaran Teknologi Hijau Malaysia (GTMP), iaitu mencapai 100% kitar semula biopejal menjelang 2030 dan akan mengakibatkan pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sebanyak kira-kira 11,500 tan metrik CO2e setahun.
Di samping itu, IWK juga telah melaksanakan projek pemasangan sistem tenaga solar photovoltaic (PV) di 53 aset pembetungannya, dengan jumlah penjimatan yang diunjurkan sebanyak RM20 juta bagi tempoh 15 tahun. Kerja-kerja pemasangan sistem tenaga solar tersebut akan dilakukan secara berperingkat dan projek fasa pertama telah melibatkan 19 tapak Loji Rawatan Kumbahan (LRK) di seluruh negara dan akan diteruskan berikutnya bagi baki 34 tapak.
Penggunaan tenaga elektrik adalah salah satu perbelanjaan terbesar dalam komponen operasi IWK dan strategi yang telah dikenalpasti dalam usaha penjimatan adalah dengan meneroka penggunaan sumber tenaga solar pada skala besar. IWK kini bertukar daripada operasi secara konvensional kepada trend kontemporari iaitu melalui adaptasi teknologi hijau dalam usaha mengurangkan kos.
Inisiatif teknologi hijau ini akan mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) di samping mewujudkan persekitaran lestari bagi industri rawatan air kumbahan. Inisiatif ini juga akan mengurangkan kesan kenaikan kos tenaga elektrik kepada IWK setiap tahun.