KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan pelbagai barangan tiruan dijual secara atas talian di Rawang, baru-baru ini.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey dalam kenyataan berkata, serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berhubung aktiviti yang mencurigakan melibatkan cap dagang miliknya.
“Susulan daripada aduan itu, KPDNHEP Selangor telah menggerakkan satu operasi pada jam 8.30 malam dan menjumpai pelbagai barangan seperti selipar (3,250 pasang), topi (760) unit, seluar (135 pasang) dan sarung kaki (120 pasang) dengan pelbagai saiz, jenama dan rekaan yang dipakaikan dengan suatu cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan ke atas premis tersebut dan tindakan sitaan akan dilaksanakan ke atas barang-barang yang dijumpai di lokasi serbuan.
“Pasukan telah menemui seorang lelaki dan dia memberi kerjasama semasa pasukan serbuan mengambil rakaman percakapan. Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM16,225,” ujar beliau.
Kesalahan disabitkan di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019(ACD 2019) dan Seksyen 102(1)(c) ACD 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar. – MalaysiaGazette